KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan terus menyalurkan keseluruhan gaji dan elaunnya bagi membantu masyarakat di Parlimen Sungai Buloh sejak 2023, dengan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah hampir RM800,000 setakat ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh mengekalkan pendekatan tersebut sebagai sebahagian usaha berterusan meringankan beban rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Sejak dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Ramanan menunaikan janji untuk mengembalikan pendapatan beliau kepada masyarakat melalui pelbagai bentuk sumbangan.
Bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM65,200 disalurkan melibatkan bantuan kepada masjid, surau, tokong, kuil dan gereja selain infaq Jumaat serta sumbangan khas sepanjang Ramadan.
Sumbangan berkenaan digunakan bagi membantu pengurusan institusi keagamaan serta disasarkan kepada golongan memerlukan di kawasan Parlimen tersebut.
Secara keseluruhan, jumlah sumbangan daripada gaji dan elaun beliau sejak 2023 hingga kini mencecah hampir RM800,000.
Menurut Ramanan, setiap sumbangan yang disalurkan merupakan amanah yang perlu dilaksanakan sebagai wakil rakyat.
"Ini bukan soal jumlah, tetapi soal tanggungjawab. Apa yang dijanjikan sebelum ini perlu diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten,” katanya.
Dalam masa sama, sebanyak 10,000 agihan bubur lambuk dilaksanakan di seluruh Parlimen Sungai Buloh sempena Ramadan tahun ini.
Program yang memasuki tahun keempat penganjurannya itu menjadi antara inisiatif berterusan bagi mendekati masyarakat setempat.
Selain itu, sebanyak 3,350 bakul makanan turut diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) sempena Aidilfitri bagi membantu persiapan perayaan.
Usaha tersebut bertujuan meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi golongan berkenaan.
Melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, pelbagai program Ihya’ Ramadan turut dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan.
Program berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM80,350 termasuk penyediaan juadah berbuka puasa dan bantuan kepada golongan memerlukan.
Ramanan berkata, nilai kebersamaan dan keprihatinan perlu terus diperkukuh dalam masyarakat khususnya ketika berdepan cabaran semasa.
"Ramadan mengajar kita erti empati dan ihsan. Jika kita berada dalam kedudukan untuk membantu, maka menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan tiada yang terpinggir,” katanya.
Pendekatan berteraskan tindakan itu mencerminkan kesinambungan usaha beliau dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.


