Ramkarpal gesa MIC, MCA nyatakan pendirian terhadap Pas susulan kenyataan Sanusi

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 2:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ramkarpal gesa MIC, MCA nyatakan pendirian terhadap Pas susulan kenyataan Sanusi
Ramkarpal (gambar kiri) berpandangan, kenyataan Muhammad Sanusi bukan sahaja tidak sensitif terhadap masyarakat bukan Melayu, malah memperlihatkan sikap tidak menghormati semangat saling memahami yang telah sekian lama dipupuk di Malaysia.

SHAH ALAM - Parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC dan MCA digesa menyatakan pendirian secara terbuka terhadap sikap Pas susulan kenyataan berbaur perkauman yang didakwa dikeluarkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Ramkarpal Singh berkata, kedua-dua parti itu perlu menjelaskan sama ada mereka bersedia untuk terus bersama BN sekiranya pendirian Pas berhubung isu tersebut terus dipertahankan.

Menurutnya, pendirian MIC dan MCA amat penting memandangkan kenyataan sedemikian boleh memberi implikasi besar terhadap keharmonian kaum yang sekian lama menjadi asas perpaduan negara.

"Seruan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran supaya BN bergerak secara solo sama sekali tidak mengurangkan kesan yang ditimbulkan oleh Pas kerana perkara itu dilihat sukar menjadi kenyataan memandangkan UMNO masih belum mengecam Pas berhubung isu berkenaan.

"Sikap Pas jelas mengabaikan sensitiviti perkauman, ditambah dengan keengganan UMNO untuk menegur parti itu, merupakan perkara amat membimbangkan dan mungkin menjadi petanda kepada apa bakal berlaku susulan kerjasama baharu mereka, sekurang-kurangnya di Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, kenyataan Muhmmad Sanusi ketika berkempen ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mencetuskan kontroversi apabila menyebut 'Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand'.

Justeru, Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berpandangan, kenyataan Muhammad Sanusi itu bukan sahaja tidak sensitif terhadap masyarakat bukan Melayu, malah memperlihatkan sikap tidak menghormati semangat saling memahami yang telah sekian lama dipupuk di Malaysia.

Menurut beliau, retorik berbaur perkauman seperti itu wajar dikecam sekeras-kerasnya kerana ia tidak mempunyai tempat dalam negara yang berbilang kaum dan budaya.

"Jika dibiarkan tanpa tindakan, ia berpotensi mencetuskan ketegangan kaum di negara ini," tegasnya lagi.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa supaya memulakan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah terbabit segera memandangkan perkara terbabit amat serius.

Beliau turut meluahkan kebimbangan bahawa kegagalan berbuat sedemikian berisiko menyebabkan kenyataan dan insiden seumpama itu berulang khususnya sepanjang tempoh berkempen, sekali gus menjejaskan hubungan antara kaum di Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved