
PETALING JAYA: Selangor FC sudah bersedia sepenuhnya di bawah acuan Kim Pan Gon menjelang saingan musim baharu Liga Malaysia apabila rombakan strategik dilakukan pada barisan kejurulatihan bagi memastikan misi memburu kejayaan dalam setiap kejohanan disertai.
Meskipun Pan Gon hanya mengambil alih tugas pada musim lalu, impak positif yang dipamerkan pengendali dari Korea Selatan itu sudah cukup untuk mengekalkan kepercayaan pihak pengurusan Gergasi Merah.
Bagi memastikan pasukan terus berkembang, Selangor membuat beberapa rombakan dengan membawa masuk tiga tenaga baharu yang memiliki pengalaman luas dalam bidang masing-masing bagi melengkapkan struktur kejurulatihan sedia ada.
Pan Gon akan terus dibantu barisan penolong jurulatih terdiri daripada Lee Soon Seok, Shahrom Kalam dan Yuki Fujimoto manakala bekas pengendali Selangor Bawah 18 Tahun (B-18) dan Bawah 20 Tahun (B-20), Firdaus Tan Aziz dinaikkan pangkat sebagai penolong jurulatih keempat.
Pelantikan Firdaus menjadi bukti komitmen Selangor dalam membangunkan bakat tempatan apabila jurulatih itu diberi peluang membawa pengalamannya di peringkat pembangunan pemain ke pentas pasukan utama.
Selain memperkukuhkan barisan teknikal, Selangor turut mendapatkan khidmat pakar kecergasan, Joel Dones bagi menggantikan Nicolas Maidana yang tidak lagi bersama pasukan.
Dones hadir dengan pengalaman antarabangsa yang luas selepas pernah berkhidmat bersama kelab England, Watford selain mempunyai pengalaman di India dan Mexico.
Turut menyertai pasukan ialah jurulatih penjaga gol dari Korea Selatan, Cho Jun Ho yang kembali bergandingan dengan Pan Gon buat kali ketiga dalam kariernya, selepas bersama ketika di Harimau Malaya dan kelab Korea Selatan, Ulsan HD.
“Pihak pengurusan berharap kehadiran tiga jurulatih baharu ini akan membawa kepakaran, idea serta tenaga baharu kepada pasukan dalam usaha meraih kejayaan sepanjang musim 2026/27,” kata SFC dalam satu kenyataan.
Setakat ini, persiapan awal Gergasi Merah di Thailand menunjukkan perkembangan positif apabila mereka menewaskan Ratchaburi sebelum meneruskan rentak kemenangan ke atas wakil Hong Kong, Tai Po FC dalam aksi persahabatan baru-baru ini. – UTUSAN
The post Ramuan Pan Gon sandaran Selangor FC appeared first on Utusan Malaysia.

