
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri merancang menaik taraf keseluruhan laluan dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menuju Menara Kinabalu, sekali gus menjadikan pembinaan jambatan kekal di Tanjung Lipat tidak diperlukan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk membaiki jambatan berkenaan.
Jambatan yang terletak di Jalan Tun Fuad Stephens, Kilometer 2.85 di sepanjang Teluk Likas itu ditutup selepas didapati tidak selamat untuk digunakan pada akhir Julai.
Jabatan Kerja Raya bertindak segera memasang jambatan Bailey sementara di lokasi berkenaan, dengan kerja pemasangan mengambil masa beberapa minggu.
Jambatan Bailey itu dibuka kepada orang awam pada Jumaat lalu.
“Jambatan sementara itu sudah siap, tetapi kami perlu mengehadkan berat kepada jumlah tertentu kerana kami juga mengambil kira aspek keselamatan, terutama kenderaan yang terlalu berat,” katanya.
“Kami sebenarnya mempunyai rancangan untuk membina semula keseluruhan laluan dari SICC hingga ke Menara Kinabalu.
“Jadi, tiada gunanya untuk kita membina jambatan kekal pada ketika ini kerana terdapat rancangan untuk menaik taraf jalan berkenaan,” katanya.
Mengenai kebimbangan berhubung penanda amaran berhampiran SICC dan Dewan Hakka yang dilaporkan dilanggar kenderaan, Dr Joachim berkata penanda berkenaan berfungsi memberi amaran kepada pemandu yang membawa kenderaan melebihi had ketinggian atau berat yang dibenarkan.
“Penanda itu sebenarnya bertujuan memberi amaran kepada orang awam supaya tidak menggunakan jalan berkenaan jika kenderaan mereka terlalu tinggi atau terlalu berat,” katanya.
Baru-baru ini, wakil pengendali treler roll-on roll-off (ro-ro), Masrul Guding, berkata laluan alternatif yang disediakan sukar dan tidak selamat untuk treler yang panjangnya kira-kira 22 meter.
Beliau berkata keadaan itu menjejaskan penghantaran kenderaan baharu dari Pelabuhan Kota Kinabalu.





