
PAPAR: Usaha berterusan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali sejak beberapa tahun lalu bagi meningkatkan keselesaan penduduk dan pengguna jalan raya, akhirnya membuahkan hasil apabila projek menaik taraf laluan sedia ada dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70 juta mula dilaksanakan.
Armizan berkata projek sepanjang 1.5 kilometer yang dibiayai Kerajaan Persekutuan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 27,000 pengguna jalan raya setiap hari yang sekian lama berdepan kesesakan di laluan utama menghubungkan Kinarut dan Papar ke Kota Kinabalu.
Beliau berkata kejayaan merealisasikan projek itu bukan dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil siri rundingan, rayuan rasmi dan perbincangan berterusan dengan kepimpinan Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan sejak 2021.
“Sebaik Datuk Seri Hajiji Noor dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 2021 dan saya berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan beliau, antara perkara yang diberi perhatian ialah mengenal pasti semula projek pembangunan Persekutuan yang sebelum ini dibatalkan atau ditangguhkan.
“Saya masih ingat antara lima projek yang diberi keutamaan ialah Jalan Berungis di Tuaran dan projek ini (laluan Bulatan Sabindo-Jambatan Kinarut). Kami mengemukakan semula cadangan itu kerana setiap projek yang dibatalkan atau ditangguhkan akan menyaksikan kos pembinaan meningkat akibat inflasi.
“Pada ketika itu, Kerajaan Persekutuan hanya bersedia mempertimbangkan pembinaan jajaran baharu kerana kosnya lebih rendah, manakala naik taraf laluan sedia ada tidak lagi diberi keutamaan, termasuk projek dari Bulatan Sabindo hingga Jambatan Kinarut.
“Justeru, saya bersama Ketua Menteri mencari jalan supaya sekurang-kurangnya sebahagian daripada laluan sedia ada ini dapat dinaik taraf bagi memberi manfaat segera kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dipetik daripada media sosial sempena majlis pecah tanah projek berkenaan yang disempurnakan Hajiji, di sini, 5 Julai lepas.
Mengulas lanjut, Armizan berkata Hajiji mengutus surat rasmi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) ketika itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 29 Julai 2022 bagi memohon supaya pakej projek membabitkan laluan dari Bulatan Sabindo hingga Sungai Kinarut dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada projek asal.
Beliau berkata usaha itu diteruskan apabila beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 4 Januari 2023 dengan mengemukakan surat rayuan bertarikh 3 Januari, sebelum menghantar satu lagi surat kepada Menteri Ekonomi ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli pada 16 Januari 2023 bagi mencadangkan supaya pakej projek berkenaan dimasukkan dalam perancangan kerajaan.
Katanya, beliau turut membawa Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang ketika itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninjau lokasi cadangan projek pada 19 Mei 2023 bagi menjelaskan keperluan menaik taraf laluan utama yang digunakan penduduk Papar.
“Satu lagi rayuan saya kemukakan kepada Rafizi pada 31 Mac 2023 bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan mengikut kemampuan siling peruntukan sedia ada.
Bagaimanapun, skop projek terpaksa dikecilkan apabila kos meningkat, daripada jajaran asal Bulatan Sabindo hingga Sungai Kinarut kepada Bulatan Sabindo hingga SMK Kinarut,” katanya.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Mei 2023 mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju meneruskan semula projek yang sebelum itu dibatalkan dengan membahagikannya kepada dua komponen.
Beliau berkata komponen pertama melibatkan projek naik taraf laluan Bulatan Sabindo hingga SMK Kinarut, manakala komponen kedua membabitkan laluan Pengalat ke Pekan Papar sepanjang 13 kilometer.
Selepas pengumuman itu, beliau berkata surat turut dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya pada 27 Julai 2023 dan sekali lagi kepada Menteri Kerja Raya pada 21 Ogos tahun sama bagi memohon supaya proses perolehan disegerakan.
“Alhamdulillah, perkembangan positif diperoleh apabila kerajaan memaklumkan proses perolehan sedang dilaksanakan sebelum taklimat rasmi mengenai jajaran dan kos projek diadakan pada November 2024.
Surat Setuju Terima (SST) akhirnya diserahkan kepada kontraktor pada 4 Mei lalu sebelum Pejabat Daerah mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi mempercepat urusan pengambilan tanah membabitkan lebih 40 geran supaya kerja pembinaan dapat dimulakan tanpa kelewatan.
“Justeru, saya mengingatkan kontraktor supaya menyiapkan projek mengikut jadual kerana penduduk Papar sudah terlalu lama menanggung kesesakan lalu lintas. Orang Papar yang bekerja di Kota Kinabalu sepatutnya mengambil masa sekitar 45 minit untuk sampai ke tempat kerja, tetapi kini ada yang terpaksa keluar sebelum subuh dan mengambil masa sehingga tiga jam dari Pekan Papar ke Kota Kinabalu.
“Komitmen politik sudah ada, peruntukan sudah ada. Saya berharap kontraktor dapat melaksanakan projek ini mengikut tempoh yang ditetapkan supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata projek komponen pertama dijadual siap dalam tempoh 24 bulan dengan kos RM70 juta, meliputi RM48 juta bagi kerja pembinaan, RM17 juta untuk pengambilan tanah dan pampasan kepada pemilik premis yang terjejas serta RM9.6 juta bagi kerja pengalihan utiliti.
Sementara itu, projek komponen kedua membabitkan naik taraf laluan Pengalat-Pekan Papar sepanjang 13 kilometer bernilai RM538 juta kini dalam peringkat reka bentuk dan value engineering sebelum tender dijangka dibuka pada hujung tahun ini dan SST diserahkan kepada kontraktor pada awal Januari tahun depan.
Menurutnya, Projek Bypass Pengalat-Pekan Papar turut merangkumi pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Kampung Sungai Padang ke Pekan Papar.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri telah meluluskan pembinaan sebuah lagi jambatan baharu yang menghubungkan Kampung Buang Sayang ke Pekan Papar bersebelahan jambatan sedia ada, sekali gus dijangka menyelesaikan masalah kesesakan trafik di kawasan itu.






