SHAH ALAM - Pengguna harus merancang pembelian dan penyediaan makanan secara sederhana bagi mengelakan pembaziran makanan terutama ketika musim perayaan seperti Ramadan, Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.
Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dalam masa sama para peniaga juga digalakkan menyediakan makanan mengikut permintaan sebenar bagi mengelakkan lebihan yang tidak terjual.
Menurutnya, ini kerana pembaziran makanan merupakan satu masalah serius di negara ini.
"Walaupun perayaan bertujuan mengeratkan hubungan serta menggalakkan amalan berkongsi rezeki, kita sering melihat banyak makanan yang berakhir sebagai sisa dan dibuang.
"Pembaziran makanan bukan sahaja satu kerugian dari segi ekonomi, malah merupakan isu moral dan alam sekitar.
"Ketika masih ada golongan masyarakat yang berdepan kesukaran mendapatkan makanan, pembaziran ini amat dikesali," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Lam Thye, selain itu, sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Jelasnya, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengurangkan pembaziran makanan.
"Usaha untuk menyalurkan lebihan makanan yang masih selamat dimakan kepada golongan yang memerlukan melalui bank makanan dan badan kebajikan perlu diperkasakan.
"Pendidikan mengenai menghargai makanan juga perlu dipupuk sejak di bangku sekolah," ujarnya.
Beliau turut mengajak orang ramai mengamalkan sikap bersederhana dan menghargai setiap rezeki yang ada.
"Mengurangkan pembaziran makanan adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar," katanya.

