Rancangan FGV ambil alih lapan anak syarikat daripada KPF adalah adil dan munasabah, kata Quantephi

LocalBusiness & Finance
11 Jun 2025 • 5:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rancangan FGV ambil alih lapan anak syarikat daripada KPF adalah adil dan munasabah, kata Quantephi

image is not available

11/06/2025 - 17:44

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Rancangan FGV Holdings Bhd untuk mengambil alih sepenuhnya lapan anak syarikat daripada Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) dalam urus niaga bernilai RM229.8 juta dianggap sebagai "adil dan munasabah", serta tidak memudaratkan pemegang saham yang tidak berkepentingan.

Penasihat bebas, Quantephi Sdn Bhd berkata, harga belian melebihi nilai aset bersih diselaraskan secara berkadar bagi aset sasaran sebanyak RM209.3 juta, terutamanya disebabkan premium sebanyak 25% bagi FGV Agri Services Sdn Bhd (FGVAS), dan penyertaan FGV Rubber Industries Sdn Bhd (FGVRI) yang mempunyai nilai aset bersih negatif kira-kira RM8 juta.

Katanya, premium ke atas FGVAS adalah wajar memandangkan unit tersebut mencatatkan keuntungan yang konsisten, dengan purata margin keuntungan selepas cukai sebanyak 15.6% dan purata hasil dividen sebanyak 7.7%.

“Kami berpandangan premium 25% yang diberikan kepada FGVAS adalah munasabah,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Penasihat bebas tersebut berkata, nisbah harga terhadap pendapatan (PER) keseluruhan FGV sebanyak 7.68 kali adalah kompetitif berbanding julat PER syarikat tersenarai yang setara, iaitu antara 4.50 kali hingga 12.12 kali. Perbandingan itu menunjukkan urus niaga tersebut adalah adil.

Keuntungan kumpulan selepas cukai dan kepentingan minoriti dijangka meningkat secara sederhana sebanyak kira-kira RM3.5 juta selepas urus niaga ini.

Oleh kerana tiada saham baharu akan diterbitkan, pendapatan sesaham (EPS) FGV dijangka meningkat sedikit daripada 7.6 sen kepada 7.7 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, menurut laporan tersebut.

“Pada pandangan kami, cadangan pengambilalihan ini dijangka memberikan manfaat operasi dan strategik kepada kumpulan.

"Dengan pemilikan penuh ke atas syarikat-syarikat sasaran, FGV akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menyelaraskan fungsi, meningkatkan penyelarasan dan mengoptimumkan prestasi merentas operasi teras dan sokongan.

“Penambahbaikan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pertumbuhan jangka panjang kumpulan dan pelaksanaan inisiatif strategiknya," katanya.

Urus niaga yang diumumkan bulan lalu ini melibatkan FGV, melalui FGV Palm Industries Sdn Bhd (FGVPI), mengambil alih baki kepentingan dalam beberapa syarikat daripada KPF: pegangan 16.67% dalam FGV Kernel Products Sdn Bhd pada harga RM12.94 juta; pegangan 33.33% dalam FGV Refineries Sdn Bhd pada harga RM17.89 juta; dan pegangan 49% dalam FGV Marketing Services Sdn Bhd pada harga RM23.86 juta.

Secara berasingan, melalui Felda Holdings Bhd (FHB) yang dimiliki sepenuhnya, FGV akan mengambil alih baki kepentingan dalam lima lagi syarikat daripada KPF: pegangan 23.08% dalam FGVAS pada harga RM62.44 juta; pegangan 49% dalam FGV Transport Services Sdn Bhd pada harga RM77.9 juta; pegangan 49% dalam FGV Security Services Sdn Bhd pada harga RM17.23 juta; pegangan 20% dalam FGV Prodata Systems Sdn Bhd pada harga RM17.48 juta; dan pegangan 28.57% dalam FGVRI pada harga RM1.

Pengambilalihan itu dibuat ketika kedudukan tunai FGV semakin kukuh susulan lonjakan keuntungan pada 2024. Kedudukan tunai dan setara tunai FGV meningkat sebanyak 14% kepada RM1.73 bilion tahun lalu. - DagangNews.com

standard