
KUALA LUMPUR - Sepasang kekasih merupakan antara lima yang direman empat hari oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka hari ini susulan penemuan rangka bayi di hadapan sebuah rumah kosong.
Pasangan berkenaan terdiri daripada remaja perempuan berusia 19 tahun dan kekasihnya.
Getaran difahamkan, tiga lagi suspek yang direman bermula hari ini itu ialah abang, ibu, kakak dan adik lelaki remaja perempuan terbabit, masing-masing berusia antara 16 hingga 40 tahun.
Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Kamarul Aris Kamalluddin sehingga Ahad bagi membantu siasatan penemuan rangka bayi itu.
Terdahulu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek akan direman bagi memudahkan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, rangka bayi yang dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu telah dikebumikan di hadapan sebuah rumah di Kelemak.
Kawasan perumahan berkenaan dikatakan agak sunyi, dan rumah terbabit terletak bertentangan dengan sebuah unit kosong. – Getaran, 26 Mac 2026

