Rangka bayi depan rumah: Empat sekeluarga, teman lelaki direman empat hari

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 10:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek utama bersama tiga ahli keluarga lain serta teman lelaki suspek direman empat hari bagi membantu siasatan penemuan rangka bayi di laman rumah.

ALOR GAJAH – Empat sekeluarga termasuk seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga ibu kepada bayi yang rangkanya ditemukan ditanam di laman rumah di Kelemak direman empat hari bermula Khamis di Mahkamah Sesyen Alor Gajah.

Selain ibu bayi berkenaan, turut direman ialah teman lelaki suspek, ibu, kakak serta adik lelaki suspek berusia antara 16 hingga 40 tahun.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Hakim Kamarul Aris Kamalluddin sehingga Ahad bagi membantu siasatan berhubung penemuan rangka bayi berkenaan.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan penemuan rangka bayi yang dipercayai ditanam kira-kira empat bulan lalu sejurus selepas dilahirkan.

Terdahulu, seorang saksi kejadian memaklumkan bahawa dia yang bertandang ke rumah kakaknya di taman perumahan sama dikejutkan dengan kehadiran pasukan forensik di lokasi kejadian.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka kehadiran pasukan polis sekitar jam 9 pagi itu hanyalah kes biasa, namun rupa-rupanya berkaitan kes tragis tersebut.

Lokasi kejadian terletak berhadapan sebuah unit kosong dan anggota polis dilihat menggali tanah di laman rumah berkenaan menggunakan cangkul bagi mencari bahan bukti.

Pasukan forensik kemudian beredar meninggalkan lokasi sekitar jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar sebelum ini memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.