
KUALA LUMPUR – Syarikat kafe coklat, Choco Loco (M) Sdn. Bhd., pengarah dan seorang lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menggunakan terma ‘francais’ secara tidak sah, lima tahun lalu.
Bagaimanapun, syarikat itu yang diwakili pengarah, Syaidatul Natasha Suhaimi, 38, dan seorang bekas pengarah, Mhd Hadi Asasa, 37, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Bagi pertuduhan ke atas syarikat, dia sebagai pemberi francais didakwa telah menggunakan terma ‘francais’ dalam perjanjian francais tersebut yang berhubung dengan perniagaannya tanpa kelulusan oleh Pendaftar Francais.
Perjanjian itu dilakukan antara Choco Loco dan dua syarikat lain iaitu Chocolate Cravings Sdn. Bhd. dan Chocolate Rush Global Trading Sdn. Bhd. di sebuah premis di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini antara 1 April dan 1 Jun 2021.
Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 37A Akta Francais 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 37A(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM200,000 dan denda tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan selanjutnya.
Bagi pertuduhan terhadap dua pengarah syarikat, mereka dengan niat bersama-sama sebagai pemberi francais didakwa melakukan perbuatan serupa terhadap dua syarikat sama di lokasi dan tarikh sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 37A akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 37A(b) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan seterusnya, mereka juga boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sallim Wahid manakala kedua-dua OKS diwakili peguam Muhammad Kausar Mohd Khairi.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan untuk setiap OKS.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 2 Disember ini. – KOSMO! ONLINE
The post Rangkaian kafe coklat nafi sentuh guna terma ‘francais’ tidak sah appeared first on Kosmo Online.


