
PENGUMUMAN peruntukan RM935 juta untuk sektor pelancongan dalam Belanjawan 2027 dijangka mampu merancakkan lagi industri pelancongan di Sabah, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah (TMS) tahun depan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata beliau yakin ia akan menjadi satu rangsangan baik kepada sektor pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar di negeri ini.
“Saya menyambut baik peruntukan bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan kita melihat ini merupakan satu rangsangan yang baik, terutamanya bagi negeri kita kerana tahun hadapan adalah Tahun Melawat Sabah.
“Kita mengharapkan peruntukan ini akan dapat digunakan sepenuhnya bagi menarik pelancong datang ke negeri kita,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatakuasa Bahagian PGRS Kalabakan, di sini, pada Sabtu.
Dr Andi berkata, sasaran kehadiran empat juta pelancong ke Sabah pada tahun ini juga berada di landasan positif dengan pertumbuhan sekitar empat peratus.
Justeru, peningkatan peruntukan berkenaan diharapkannya mampu menjadikan sektor pelancongan Sabah lebih rancak, sekaligus meningkatkan kemasukan pelancong.
Dalam masa yang sama, katanya, masyarakat tempatan, terutamanya syarikat-syarikat SME bakal turut merasai limpahan ekonomi hasil daripada peningkatan jumlah kemasukan pelancong ke Sabah.
Berkenaan pelepasan cukai RM10,000 yang diumumkan kerajaan bagi Labuan dan Langkawi, beliau berpandangan langkah itu tidak memberi impak besar terhadap kemasukan pelancong ke Sabah.
Ini kerana, katanya, Sabah mempunyai keunikan tersendiri sebagai destinasi pelancongan menarik di negara ini, termasuk pantai, pulau dan kawasan pergunungan.
Bagaimanapun, beliau berkata perkembangan ekonomi Labuan yang terletak berdekatan Sabah tetap memberi limpahan positif kepada negeri ini secara tidak langsung, hasil pelepasan cukai tersebut.






