Fokus pada pembangunan pedalaman Sabah: Arthur

LocalPolitics
11 Oct 2026 • 10:35 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Fokus pada pembangunan pedalaman Sabah: Arthur

Kota Kinabalu: Belanjawan 2027 menggariskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus mengutamakan pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan pedalaman Sabah, kata Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkata komitmen berkenaan turut dicerminkan menerusi peruntukan Persekutuan tertinggi setakat ini sebanyak RM18.7 bilion untuk Sabah, peningkatan pemberian khas interim kepada RM1.5 bilion tahun ini serta usaha mempercepat penyelesaian isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Arthur, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sook, berkata sebagai wakil kawasan pedalaman, beliau mahu keutamaan turut diberikan kepada pembangunan rangkaian perhubungan dan infrastruktur asas yang merupakan antara keperluan terpenting penduduk di kawasan berkenaan.

“Justeru, peruntukan RM3.3 bilion bagi projek jalan raya di Sabah dan Sarawak, khususnya sasaran menyiapkan Jalan Penghubung Sarawak-Sabah 1 dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej 1B menjelang akhir tahun depan, akan memberi impak besar terhadap pergerakan penduduk dan kegiatan ekonomi tempatan.

“Peruntukan RM350 juta bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan, khususnya untuk kontraktor tempatan kelas G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak, bukan sahaja akan mempercepat pembaikan jalan awam, malah menyokong usahawan kecil,” katanya.

Arthur berkata kerajaan juga komited mengurangkan kos sara hidup penduduk luar bandar dengan memperluas pengedaran barangan keperluan ke lokasi baharu, seperti Kampung Terian di Penampang dan Kampung Sarawak, bagi memastikan barangan keperluan harian kekal mampu dibeli.

Perkhidmatan keselamatan dan pentadbiran di kawasan pedalaman juga akan diperkukuh menerusi pembinaan Pejabat Imigresen baharu di Keningau, penyediaan kuarters di Depot Tahanan Imigresen Papar serta inisiatif menstabilkan bekalan elektrik melalui pelaksanaan sistem Statcom dan Talian Penghantaran Southern Link, katanya.

Beliau berkata pelantikan wakil tetap Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bersama pemindahan kuasa kawal selia gas yang disokong peruntukan RM600 juta, penting untuk memperkukuh ekonomi negeri.

Mengenai pembangunan modal insan, beliau menyambut baik keputusan meningkatkan jumlah tawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar kelahiran Borneo kepada 4,200 setahun, selain peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi membaiki dan menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak.

Inisiatif menyokong usahawan kecil, termasuk menaik taraf pusat penjaja di Arena Niaga Kunak dan Hentian Telupid, menganjurkan program Tamu Desa serta melanjutkan insentif pembajakan RM300 sehektar kepada pesawah tempatan, dijangka memberikan suntikan baharu kepada ekonomi masyarakat.

Beliau turut menyeru pemimpin dan rakyat Sabah supaya bekerjasama bagi memastikan semua inisiatif belanjawan itu dilaksanakan dengan jayanya agar tiada wilayah atau masyarakat yang tercicir daripada pembangunan negara.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved