Rapid KL lanjut operasi rel pada waktu puncak sempena Asean

LocalTravel
20 May 2025 • 2:34 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

PETALING JAYA - Bersempena sidang kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung di sekitar ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya, waktu operasi rangkaian rel transit Rapid KL akan dilanjutkan pada waktu puncak pagi dan petang bermula 23 Mei hingga 27 Mei 2025.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, waktu puncak pada hari bekerja sepanjang tarikh tersebut akan ditambah satu (1) jam pada sebelah pagi dan petang.

"Waktu puncak pada hari biasa iaitu 7 pagi hingga 9.30 pagi bertukar kepada 6.30 pagi hingga 10 pagi (sempena ASEAN) dan 5 petang hingga 7.30 malam kepada 4.30 petang hingga 8 malam (ASEAN)," jelas kenyataan itu.

Kekerapan operasi tren pada hari Sabtu dan Ahad turut dipertingkatkan bagi menampung
bilangan penumpang yang dijangka bertambah pada minggu ini. Kekerapan tren pada 24 dan 25 Mei 2025 adalah Ampang/Sri Petaling setiap 4 minit; Kelana Jaya (5 minit); Monorel, Kajang dan Putrajaya (8 minit).

"Rapid KL akan mempertingkatkan pemantauan dan kawalan operasi bagi memastikan
kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang tempoh persidangan. Selain
itu, Rapid KL juga bersedia menambah bilangan tren sekiranya berlaku peningkatan
jumlah penumpang atau keperluan operasi semasa," katanya.

Seramai 400 kakitangan tambahan turut ditempatkan di stesen-stesen rel terpilih bagi
membantu melancarkan pergerakan penumpang dan delegasi ASEAN yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Bagi operasi perkhidmatan bas dan Rapid KL On-Demand, beberapa laluan dijangka
mengalami kelewatan jadual perjalanan susulan penutupan jalan secara berperingkat oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh tersebut.

Antara laluan yang terlibat ialah Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri);Laluan 302 (LRT Titiwangsa – KLCC);Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang);Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang); dan Rapid KL On-Demand (Zon Titiwangsa – Chow Kit).

Pengguna bas yang ingin menuju ke KLCC dan kawasan sekitarnya disaran untuk
menggunakan perkhidmatan rel bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Antara stesen
rel yang boleh digunakan termasuk Stesen KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen
Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya), Stesen Raja Chulan (Monorel KL), Stesen Conlay
(Laluan Putrajaya) dan Stesen Bukit Bintang (Laluan Kajang dan Monorel KL).

Rapid KL menyarankan penumpang agar merancang perjalanan lebih awal, memantau
notifikasi terkini melalui media sosial rasmi Rapid KL atau memuat turut aplikasi PULSE,
serta mempertimbangkan penggunaan alternatif seperti perkhidmatan rel bagi
mengelakkan sebarang kesulitan. - 20 Mei, 2025