Sidang Kemuncak ASEAN: NUTP Nasihat Guru Sesi PdPR Kekal Di Rumah, Jangan Balik Kampung

Entertainment
20 May 2025 • 4:23 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sempena acara Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang akan berlangsung 26 hingga 28 Mei ini, Kementerian Pendidikan memberikan kelonggaran kepada sekolah-sekolah terlibat untuk melaksanakan pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Difahamkan, sebanyak 71 buah sekolah terlibat yang terdiri daripada sekolah kebangsaan (SK), sekolah menengah kebangsaan (SMK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah kebangsaan (SK) pendidikan khas.

image is not available

Berhubung pelaksanaan PdPR, guru-guru yang terlibat dinasihatkan untuk kekal di rumah bagi memastikan sesi pengajaran berjalan lancar.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, berkata golongan pendidik dinasihatkan tidak mengambil peluang untuk pulang ke kampung sepanjang tempoh PdPR bagi mengelakkan risiko terbabit kemalangan.

Beliau menegaskan langkah itu penting bagi memastikan sesi pengajaran tidak terganggu dan dapat dijalankan dengan lancar serta berkesan walaupun dalam talian.

“Fokus utama adalah kesinambungan pengajaran. Jika guru mengambil kesempatan untuk pulang kampung dan sekiranya terbabit dalam kemalangan, ia akan menjejaskan sesi PdPR,” katanya.

Pada masa yang sama, ibu bapa digesa untuk memantau keadaan anak-anak ketika berada di rumah sepanjang tempoh PdPR berlangsung.

Cadangan pelaksanaan PdPR bagi sekolah yang terlibat kerana mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran sidang kemuncak itu.

Sumber:

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.