Rapid KL tambah 13 zon On-Demand, aplikasi tempahan baharu dilancar 9 Jun

7 Jun 2025 • 6:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 7 JUN: Rapid Bus Sdn Bhd bakal memperkenalkan 13 zon baharu bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula 9 Jun ini, sekali gus memperluas capaian pengangkutan awam di Lembah Klang.

Langkah itu turut disertai pelancaran aplikasi tempahan baharu dikenali sebagai Rapid On-Demand yang membolehkan pengguna menempah perjalanan secara lebih mudah, pantas dan mesra pengguna.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Rapid Bus (Operasi) Amir Hamdan berkata inisiatif itu bertujuan memantapkan pengalaman pelanggan selain menyokong usaha menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama penduduk.

“Dengan inovasi ini yang menitikberatkan aspek lestari, responsif serta mesra pengguna, kami menyasarkan untuk meningkatkan kebolehgunaan sistem pengangkutan awam, khususnya sebagai sambungan perjalanan ‘first-last mile’,” katanya.

Aplikasi Rapid On-Demand akan digunakan bermula di zon-zon sambungan ke laluan MRT seperti berikut:

No Zon Jumlah Van
1 MRT Semantan – KTM Segambut 2
2 MRT Bukit Dukung – Sg. Sekamat 1
3 MRT Sungai Buloh – Bandar Rahman Putra 3
4 MRT Serdang Raya Selatan – Taman Bukit Serdang 2
5 MRT Metro Prima – Taman Botani Kepong (FRIM) 2
6 MRT Kentonmen – MITEC 3
7 MRT Sg. Jernih – Taman Puncak Saujana 2
8 MRT Serdang Raya Utara – Pavilion Bukit Jalil 4
9 MRT Taman Equine – Lestari Perdana 4
10 MRT Metro Prima – Taman Bukit Maluri 2
11 MRT Sri Delima – Sri Segambut 2
12 Kota Kemuning – Gamuda Walk Mall (melalui Kummute) 3
13 LRT Alam Megah – Alam Megah 2

Tambah Amir, zon-zon lain juga akan diperluas secara berperingkat. Setakat ini, perkhidmatan Rapid KL On-Demand telah meliputi 47 zon dengan jaminan tempat duduk serta operasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam. Bagi menggalakkan lebih ramai mencuba perkhidmatan ini, tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan diteruskan, dan boleh dibayar menggunakan pelbagai kaedah termasuk:

  • Kad Touch ‘n Go
  • Kad debit atau kredit
  • Kad Konsesi MyRapid
  • Pas Perjalanan OKU Smile
  • Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili)

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Rapid On-Demand secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui media sosial rasmi Rapid KL atau di laman web www.myrapid.com.my.