
GEORGE TOWN : Rapid Penang akan melaksanakan satu sesi pandu uji bas elektrik selama dua hari bermula esok sebagai persediaan sebelum memulakan operasi bas elektrik pertama di negeri ini tidak lama lagi.
Dalam sesi pandu uji itu, sebanyak dua buah bas elektrik daripada dua pengeluar berbeza akan digunakan iaitu Foton yang berukuran 12 meter serta Golden Dragon dengan ukuran sepanjang 8.25 meter.
Kedua-dua bas akan diuji secara berasingan di laluan terpilih bagi menilai kesesuaian dan keupayaan operasi dalam keadaan sebenar di Pulau Pinang, termasuk aspek laluan, keadaan trafik, penggunaan tenaga, prestasi pengecasan serta keselamatan dan keselesaan pengguna.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata, sesi pandu uji itu merupakan inisiatif Rapid Penang ke arah pengenalan bas elektrik yang pertama di Pulau Pinang selaras dengan pelaksanaan inisiatif penggantian bas secara berperingkat.
“Ini merupakan penanda aras penting bagi memastikan pasukan operasi mempunyai data dan pengalaman yang mencukupi untuk menilai prestasi, keupayaan serta keperluan pengoperasian bas elektrik dalam keadaan sebenar sebelum ia diperkenalkan ke dalam laluan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, beliau berkata, selain ujian operasi, Rapid Penang turut membuat persediaan yang diperlukan bagi menyokong pengoperasian bas elektrik, termasuk infrastruktur pengecasan, kemudahan penyelenggaraan, latihan kakitangan serta keperluan sokongan operasi.
Katanya, pengoperasian bas elektrik akan dilaksanakan secara berperingkat selepas sesi pandu uji ini selesai dan Rapid Penang juga akan terus memastikan tahap kesiapsiagaan serta penambahbaikan dipertingkat bagi menjamin kelancaran perkhidmatan kepada pengguna.
“Rapid Penang kini berada dalam fasa pertama perolehan sebanyak 75 buah bas elektrik, dengan penerimaan bas dilaksanakan secara berperingkat sehingga Mac 2027.
“Perolehan ini merupakan sebahagian daripada program penggantian bas secara berperingkat yang sedang dilaksanakan di Pulau Pinang, melibatkan 240 buah bas elektrik dan 70 buah bas diesel baharu,” ujar beliau.
Tambahnya, pengenalan bas elektrik itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030 dalam menyokong usaha memperluas penggunaan pengangkutan awam rendah karbon.-UTUSAN
The post Sesi pandu uji dua bas elektrik di Pulau Pinang bermula esok appeared first on Utusan Malaysia.






