Ras Adiba kembali rayu bantu cari Zalina Azman

27 Jul 2026 • 1:31 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ras Adiba kembali rayu bantu cari Zalina Azman

KUALA LUMPUR – Tidak berhenti berharap, bekas personaliti televisyen, Datuk Ras Adiba Radzi sekali lagi merayu bantuan orang ramai menjejaki sahabat baiknya juga bekas pembaca berita TV3, Zalina Azman yang hilang sejak lima tahun tanpa dapat dijejaki sehingga ke hari ini.

Menerusi hantaran dimuat naik dalam platform Threads, Ras Adiba meminta mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Zalina agar tampil menghubunginya.

“Ini untuk sahabat saya, Zalina Azman. Saya merayu kepada semua supaya membantu saya mencarinya.

“Jika mempunyai sebarang maklumat, sila hantarkan mesej peribadi kepada saya,” tulisnya yang turut menyertakan gambar rakannya itu.

Misteri kehilangan Zalina atau nama penuhnya Zalina Shaharah Azman, 63, sehingga kini masih belum terungkai meskipun pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa sejak dia dilaporkan hilang pada November 2021.

Beberapa pemeriksaan di kediamannya di Seksyen 3, Shah Alam turut dijalankan polis sepanjang tempoh siasatan, namun tiada petunjuk baharu ditemui.

Dilaporkan bahawa rumah yang pernah didiami bekas personaliti televisyen itu kini terbiar dengan dipenuhi semak samun.

Terdahulu, kehilangan Zalina disedari anaknya, Mikhael Norman pada 24 November 2021 selepas gagal menghubungi ibunya untuk memaklumkan datuknya dimasukkan ke hospital.

Lima hari kemudian, Mikhael bersama bapa saudaranya pergi ke rumah Zalina dan menemui keretanya masih berada di pekarangan kediaman.

Pemeriksaan di dalam rumah mendapati beg tangannya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kunci kereta serta wang tunai RM600 masih berada di situ, namun wanita itu gagal dikesan sebelum laporan polis dibuat pada hari sama.

Susulan laporan berkenaan, polis melancarkan siasatan dengan bantuan beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia, selain merakam keterangan 25 individu bagi membantu siasatan.

Sehingga kini, kehilangan bekas hos program Money Matters itu terus menjadi misteri dengan polis mengekalkan statusnya sebagai Orang Hilang (OH) kerana tiada bukti sahih menunjukkan Zalina meninggal dunia atau meninggalkan negara. – KOSMO! ONLINE

The post Ras Adiba kembali rayu bantu cari Zalina Azman appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved