‘Rasa hilang harapan bila kena 30 tahun penjara,’ Yasin Sulaiman syukur kini bebas, kongsi fasa sukar dalam tahanan

LocalEntertainment
10 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Rasa hilang harapan bila kena 30 tahun penjara,’ Yasin Sulaiman syukur kini bebas, kongsi fasa sukar dalam tahanan

KEHIDUPAN nsan bergelar seniman ini sememangnya penuh dengan ujian yang tidak disangka-sangka, namun sinar di hujung lorong gelap akhirnya menyapa jua.

Selepas melalui detik paling kritikal dalam hidupnya, penyanyi dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman kini meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila secara rasmi dibenarkan pulang dari Hospital Bahagia Ulu Kinta. Lebih bermakna lagi, kebebasannya itu dimaklumkan seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara selepas mendapat perkenan Tuanku Sultan Selangor menerusi perintah pembebasan baginda.

Bagi Yasin, saat menerima khabar gembira tersebut, rasa gembira dan lega yang hadir sukar digambarkan dengan kata-kata selepas mengharungi perjalanan yang sangat berliku dan penuh cabaran sepanjang empat tahun setengah yang lalu.

Mengimbas kembali detik-detik penuh emosi, penyanyi lagu Mimpi Laila ini mengakui dirinya berada dalam keadaan paling rapuh sewaktu Mahkamah Tinggi melipatgandakan hukuman kepada 30 tahun penjara.

Image from: ‘Rasa hilang harapan bila kena 30 tahun penjara,’ Yasin Sulaiman syukur kini bebas, kongsi fasa sukar dalam tahanan

"Masa mula-mula dijatuhi hukuman 30 tahun itu, saya memang hilang harapan langsung. Saya tak rasa benda itu akan ada penyelesaian.

"Masa itu saya boleh rasa darah menyirap ke kepala dan tekanan darah jadi sangat tinggi.

"Bila dibawa ke lokap, saya cuma mampu terbaring sebab memang tak boleh nak mengawal tekanan emosi dan perasaan yang melampau," kongsinya. Malah, persekitaran di dalam penjara yang disifatkannya amat sukar dan serba ketat membuatkan dia benar-benar menguji ketahanan fizikal mahupun mental.

Namun, di sebalik tirai besi yang suram, Yasin tidak melepaskan gantungannya kepada Pencipta.

Berpindah dari Penjara Sungai Buloh ke Penjara Kajang, kemudian berulang-alik menerima rawatan di hospital, Yasin terus mendekatkan diri kepada Ilahi.

"Bila masuk Penjara Kajang, saya betul-betul banyak berdoa, solat dan mendekatkan diri dengan Tuhan sebab keadaan masa itu memang sangat teruk.

Image from: ‘Rasa hilang harapan bila kena 30 tahun penjara,’ Yasin Sulaiman syukur kini bebas, kongsi fasa sukar dalam tahanan

"Bila dah kena 30 tahun, kita rasa dah tak ada jalan keluar langsung," katanya mengimbas fasa paling gelap dalam hidupnya sebelum Mahkamah Rayuan akhirnya membebaskannya daripada tuduhan dadah berkenaan.

Proses pembebasan dari hospital juga bukannya sekelip mata atau diberi laluan mudah, sebaliknya Yasin perlu menjalani prosedur ketat yang ditetapkan oleh pihak perubatan dan Lembaga Pengampunan menerusi S.U.K. Selangor.

Selepas dipindahkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, dia melalui tempoh penilaian rawatan selama setahun setengah dengan rutin perubatan yang konsisten serta rekod kesihatan yang sangat baik, sebelum melalui proses pentadbiran selama enam bulan. "Pihak hospital tidak akan membebaskan pesakit kalau mereka rasa kita belum bersedia.

"Selepas hospital berpuas hati dengan tahap kestabilan rawatan dan buat semua asesmen, barulah keputusan itu dibawa ke peringkat seterusnya sehingga mendapat perkenan Sultan," jelasnya lagi.

Kini, kehidupan baharu menanti Yasin dengan jadual yang cukup padat sebaik sahaja melangkah keluar sebagai insan bebas.

Image from: ‘Rasa hilang harapan bila kena 30 tahun penjara,’ Yasin Sulaiman syukur kini bebas, kongsi fasa sukar dalam tahanan

Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya untuk disemai bersama keluarga tercinta di samping menyelesaikan urusan studio dan pelbagai perancangan seni yang tertangguh. Dalam pada itu, Yasin juga sedang aktif mengumpul serta memilih foto-foto kenangan untuk diterbitkan dalam buku autobiografinya kelak. Fokus utama naskhah tersebut akan menyentuh isu kesihatan mental dan pengalaman hidupnya menghidapi kecelaruan bipolar.

Yasin berharap perkongsiannya itu mampu memberi inspirasi dan sinar harapan baharu kepada mereka yang sedang berjuang dengan masalah kesihatan mental agar tidak cepat berputus asa, kerana penawar dan jalan keluar sentiasa ada jika diuruskan dengan betul.

Image from: ‘Rasa hilang harapan bila kena 30 tahun penjara,’ Yasin Sulaiman syukur kini bebas, kongsi fasa sukar dalam tahanan

Yasin berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran pementasan mega teater muzikal Mansur & Liu. Buat julung kalinya, maestro muzik tanah air, Dato' M. Nasir tampil sebagai pengarah bagi mengemudi teater berunsur sejarah ini. Bagi menjayakan pementasan berkenaan, beliau mengumpul ramai penggiat seni dan pelakon hebat tempatan untuk membawakan kisah warisan Melayu ini dalam persembahan yang lebih moden serta menarik.

Image from: ‘Rasa hilang harapan bila kena 30 tahun penjara,’ Yasin Sulaiman syukur kini bebas, kongsi fasa sukar dalam tahanan

Pihak penganjur iaitu Roman Abadi milik Dato' M. Nasir dan Datin Marlia Musa bersama Icon Entertainment sepakat memilih Alif Aziz untuk memegang watak utama sebagai Sultan Mansur Shah. Manakala watak Puteri Liu pula diserahkan kepada Melinda Dadew.

Gabungan dua pelakon ini bakal menghidupkan kembali kisah sejarah popular yang pernah menghubungkan Kesultanan Melayu Melaka dengan empayar China secara terus di atas pentas.

Selain watak utama, teater muzikal ini turut diperhebatkan lagi dengan kehadiran ramai pelakon popular tanah air seperti Amerul Afendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.

Image from: ‘Rasa hilang harapan bila kena 30 tahun penjara,’ Yasin Sulaiman syukur kini bebas, kongsi fasa sukar dalam tahanan

Kehadiran barisan bintang hebat ini pastinya akan memeriahkan lagi pementasan serta membawakan suasana era kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka khas buat para penonton.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved