
KUALA LUMPUR: Selepas lebih empat tahun melalui episod penuh liku termasuk menjalani hukuman penjara dan mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman kini kembali menata kehidupan bersama keluarga.
Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 51, berkata, ketika dibenarkan keluar dari hospital berkenaan, perkara pertama yang difikirkannya bukanlah makanan yang diidamkan, sebaliknya rasa syukur kerana akhirnya kembali menikmati kebebasan.
“Tiada apa-apa makanan yang saya idamkan. Pembebasan ini juga sudah cukup membuatkan saya ‘kenyang’.
“Cuma sekarang ini saya tengah nak diet sedikit sebab berat badan saya sepanjang melalui proses ini turun naik. Dulu berat saya 65 kilogram, bila masuk penjara turun sehingga 48 kilogram. Teruk sangat, dah macam orang Somalia.
“Kemudian masuk hospital mereka beri ubat, berat badan saya naik sehingga 80 kilogram. Sekarang sudah 77 kilogram tetapi saya nak kurangkan sehingga mencapai 60 kilogram,” katanya ketika ditemui pada pementasan teater Mansur & Liu di Istana Budaya di sini, semalam.
Mengimbas pengalaman ketika berada di Hospital Bahagia dan penjara, Yasin mengakui proses untuk kembali menjalani kehidupan di luar bukan sesuatu yang mudah.
Menurutnya, dia perlu melalui tempoh rawatan dan pemantauan sebelum pihak hospital berpuas hati dengan tahap kestabilan dirinya.
“Seiring dengan hari kemerdekaan negara, perkenan Sultan Selangor yang telah menandatangani perintah pembebasan saya. Jadi saya bersyukur dan menjunjung kasih.
“Bukan pembebasan awal tetapi saya mengikut prosedur, tidak ada laluan mudah. Maknanya pihak hospital berpuas hati dengan rawatan saya dan saya sudah stabil,” katanya.
Bercerita mengenai pengalaman di sebalik tirai besi, Yasin menyifatkan penjara sebagai pengalaman yang sangat sukar, malah mengakui keadaan di hospital jauh lebih baik.
“Penjara adalah tempat yang teruk. Sangat kotor, ganas dan ada penghinaan. Ketika pemeriksaan keselamatan, kita boleh diminta berbogel dan melakukan ketuk ketampi. Teruk sangat di penjara. Jangan masuk penjara,” katanya.
Walaupun kini sudah kembali bersama keluarga, Yasin berkata kebebasan yang dinikmatinya masih tertakluk kepada beberapa syarat.
“Masih bergantung. Syarat-syarat untuk keluar daripada Hospital Bahagia ada dua.
“Pertama, tak boleh tinggalkan ubat sehingga ke penghujung hayat dan kedua, tak boleh terlibat dengan kanabis lagi,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Yasin kini sedang menyiapkan sebuah buku biografi yang memfokuskan pengalaman serta perjalanan hidupnya, khususnya berkaitan isu kesihatan mental yang pernah dilaluinya.
Pada 2 September lalu, Yasin dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Sebelum ini, pada 22 Ogos 2024, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang membebaskan Yasin pada 29 November 2023.
Bagaimanapun, pada 28 April 2025, Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskan Yasin serta memerintahkannya ditempatkan semula di Hospital Bahagia sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.
Keputusan berkenaan sekali gus mengetepikan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah.
Yasin sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memiliki kanabis seberat 193.7 gram, menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah serta memberikan dirinya dadah berbahaya.
The post Tiada apa-apa makanan yang saya idamkan. Pembebasan ini juga sudah cukup membuatkan saya ‘kenyang’. appeared first on Utusan Malaysia.






