
DI Kuantan, Pahang, terdapat 18 padang golf, 10 daripadanya mempunyai 18 lubang, selebihya sembilan lubang. Dan salah satu padang golf yang semakin disukai ramai adalah Kelab Golf Diraja Pahang (KGDP) atau lebih popular dengan panggilan Royal Pahang yang terletak dipinggir pantai, hanya beberapa kilometer dari pusat bandar Kuantan.
Jika anda seorang pemain golf dan datang ke Kuantan, anda harus bermain di Royal Pahang ini. Alami sendiri pengalaman indah dan cabaran berbeza ketika beraksi di padang golf bersebelahan tepi pantai.
Ditubuhkan pada tahun 1964, padang golf 18 lubang ini terkenal dengan lokasi yang menarik, menawarkan pemandangan menakjubkan Laut China Selatan hanya beberapa minit dari Pantai Telok Chempedak.
Walaupun lapangannya rata, namun cabaran sebenar padang ini adalah angin yang bertiup dari pelbagai arah pada waktu petang yang menguji mental setiap pemain golf terutama pada lubang 10 dan 11. Dua lubang ini memerlukan pemain mengawal pukulan dengan lebih tepat serta merancang permainan secara bijak.

Lubang ke-11 dikenali sebagai signature hole kerana keunikannya. Ada dua tee box yang terletak di Inland dan Coastal yang hanya mengikut keperluan. Tee box Coastal yang terletak di pesisir pantai memerlukan pemain mengawal arah bola dengan teliti bagi mengelakkan ia tersasar akibat tiupan angin laut.
Manakala lubang 14 (par 4), pemain perlu melepasi kolam yang luas kira-kira 150 meter untuk meletakkan bola di fairway dengan sebelah kanan manakala sebelah kiri terdapat istana milik Kerabat Diraja Pahang.
Selain itu, setiap lubang di padang ini direka dengan cabaran tersendiri, dikelilingi oleh pokok matang, kolam, serta landskap semula jadi. Pelbagai spesies pokok antaranya pokok Rhu Laut yang yang bertujuan menahan angin pantai, pokok Gelam yang terkenal dengan penghasilan minyak putih serta pokok Leban yang dikenali kerana ketahanannya.

Kesimpulannya walaupun Royal Pahang ini lapangnya rata tetapi bukan mudah bagi seseorang pemain golf untuk mencipta par atau birdie. Malah ramai juga pemain yang beraksi di sini pulang hampa apabila melihat catatan skor melebihi 100.
Dari segi penyelenggaraan padang, Royal Pahang menggunakan rumput jenis campuran cow grass, manakala kawasan putting green dihampar rumput jenis serangoon yang dijaga rapi mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Malaysia Golf Association (MGA).
Menurut Naib Presiden II, Datuk Kamaruddin Bakar, rumah kelab menyediakan pelbagai kemudahan demi keselesaan pemain dan pengunjung termasuk restoran atau kafeteria, bilik persalinan yang dilengkapi tandas dan bilik mandi, ruang rehat serta surau.
Selain itu, katanya, terdapat juga kemudahan sokongan seperti pro shop yang menjual pelbagai peralatan golf.
“Kini saya sedang mengkaji untuk menaik taraf gerai persinggahan (halfway hut) di lubang lima (par 3). Kebetulan lokasinya berhampiran pintu belakang dan kemungkinan ia akan dibuka kepada orang ramai untuk menikmati keindahan padang golf serta pemandangan Laut China Selatan.” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, pihak kelab kini juga dalam proses menyiapkan pembinaan jambatan ke putting green lubang 5 yang dikelilingi air bagi memudahkan pemain berjalan kaki ke lubang seterusnya tanpa perlu melalui laluan yang jauh.

“Perancangan menaik taraf kemudahan ini dilihat sebagai langkah proaktif RPGC dalam meningkatkan pengalaman pemain, di samping membuka potensi baharu sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan di pesisir Pantai Timur.
“Saya mula memegang jawatan ini sejak lima bulan lalu dan akan berusaha melaksanakan amanah ini sebaik mungkin selaras dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku penaung kelab ini,” katanya
Kamaruddin memberitahu, beliau juga menekankan kepada kebersihan padang golf terutama di lapangan daripada rimbunan daun-daun pokok tua puluhan tahun yang berguguran di tengah dan tepi padang.
“Padang golf harus kelihatan bersih agar ia memberi imej baik kepada Royal Pahang itu sendiri. Itu yang saya tekankan. Harus jaga nama baik Royal Pahang,” katanya.
Salah seorang pemain golf, Khairul Azlan berkata, dia berpuas hati bermain di kelab ini dengan keadaan green yang laju dan konsisten.
“Saya pertama kali bermain di sini. Permukaan green yang licin sememangnya memberi kepuasan. Saya yakin ramai pemain akan datang beraksi di sini kerana green yang baik akan disukai ramai pemain,” katanya yang berasal dari Selangor. – UTUSAN
The post Rasai pengalaman, cabaran berbeza di Royal Pahang appeared first on Utusan Malaysia.
