Rasionalisasi Subsidi RON95: Tuduhan Bebankan Rakyat Hanya Gimik Politik Terdesak – PM Anwar

LocalPolitics
16 Jun 2025 • 10:38 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Rasionalisasi Subsidi RON95: Tuduhan Bebankan Rakyat Hanya Gimik Politik Terdesak – PM Anwar

Dakwaan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 akan membebankan majoriti rakyat disifatkan sebagai kempen negatif yang sengaja direka untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tuduhan kononnya 85 hingga 95 peratus rakyat bakal terjejas hanyalah gimik terdesak daripada pihak tertentu.

Menurut beliau, golongan ini sengaja mewujudkan persepsi negatif terhadap langkah kerajaan.

“Isu kenaikan harga RON95 juga telah dijadikan bahan kempen negatif. Saya ingin tegaskan sekali lagi, tiada sebarang isu berbangkit tentang pengurangan subsidi RON95 yang kononnya akan membebankan 85 hingga 95 peratus rakyat kita.

“Kita perlukan naratif yang positif dan memberangsangkan untuk memperkukuh ekonomi, bukan menyebarkan ketakutan,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Energy Asia 2025 di ibu negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi merupakan langkah penting bagi memastikan sumber negara diagihkan dengan lebih adil dan berkesan.

Langkah tersebut, katanya, memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan miskin, mempertingkatkan mutu pendidikan serta memperbaiki perkhidmatan awam termasuk kesihatan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan bahawa pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dijadual bermula pada separuh kedua tahun ini, sejajar dengan agenda pembaharuan fiskal negara.

Sumber: Berita RTM