
Selepas hampir sembilan tahun, Formula 1 akhirnya kembali ke Malaysia apabila Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) secara rasmi mengesahkan PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) akan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Perlumbaan itu akan berlangsung di Sepang sebagai venue gantian kepada Bahrain susulan situasi semasa di Asia Barat. Walaupun diadakan di Malaysia, pusingan tersebut akan kekal menggunakan nama Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi World Motor Sport Council (WMSC).
Pengumuman itu dibuat bersama oleh Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia, sekali gus memastikan kalendar Formula 1 musim 2026 dapat dikekalkan tanpa sebarang perubahan lain.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia berbesar hati diberi kepercayaan untuk membantu Bahrain, Formula 1 dan FIA menganjurkan perlumbaan berprestij itu di Sepang.
Beliau turut menyifatkan kerjasama tersebut sebagai lambang hubungan erat dan kepercayaan antara Malaysia dan Bahrain, selain membuktikan kesiapsiagaan negara dalam menganjurkan acara sukan bertaraf dunia.
“Malaysia bersedia mengalu-alukan kembali Formula 1, FIA, pasukan-pasukan bertanding serta peminat dari seluruh dunia ke Sepang. Kami menantikan peluang untuk mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi serta layanan mesra rakyat Malaysia,” katanya.
Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, pula berkata kepulangan Formula 1 ke Sepang membuktikan hubungan kukuh antara FIA, Kerajaan Malaysia dan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), selain menjadi contoh kerjasama antarabangsa dalam memastikan kejuaraan dunia itu dapat diteruskan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, menyifatkan Sepang sebagai salah satu litar paling ikonik dalam sejarah Formula 1 yang sentiasa menjanjikan aksi perlumbaan menarik.
Menurutnya, keputusan itu membuktikan keupayaan Formula 1 untuk menyesuaikan diri dengan cabaran semasa tanpa menjejaskan kalendar perlumbaan, sekali gus memberi berita gembira kepada jutaan peminat di seluruh dunia.
Litar Sepang sebelum ini menjadi tuan rumah Formula 1 selama 19 edisi berturut-turut dari 1999 hingga 2017 dan masih memiliki pensijilan FIA Grade 1, menjadikannya antara litar yang layak menganjurkan perlumbaan Formula 1 pada bila-bila masa.
Kepulangan Formula 1 dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan, hospitaliti, ekonomi dan industri sukan permotoran negara, selain mengembalikan Malaysia ke pentas sukan permotoran paling berprestij dunia.
Maklumat mengenai jualan tiket dan aktiviti sampingan sempena perlumbaan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Selamat datang kembali Formula 1. Selamat kembali ke Sepang.
The post Rasmi! Formula 1 Kembali ke Sepang Selepas Hampir Sedekad, Sepang Sah Anjur GP Bahrain appeared first on TW Media.




