City berdepan hukuman berat

Football
30 Sep 2026 • 3:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: City berdepan hukuman berat
Liga Perdana mengesahkan City melanggar peraturan kewangan. Foto: Agensi

MANCHESTER City berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat selepas suruhanjaya bebas mendapati kelab itu melakukan pelanggaran serius peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang sembilan musim.

City didapati mengatur kontrak 'palsu' dengan beberapa rakan komersial bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos lebih £900 juta (RM4.8 bilion) antara 2009 hingga 2018.

Tindakan itu menyebabkan kedudukan kewangan sebenar kelab disembunyikan, sekali gus membolehkan City mengelak daripada melanggar had perbelanjaan EPL serta UEFA.

Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters berkata, keputusan berkenaan menetapkan fakta mengenai apa yang berlaku di City, termasuk bagaimana kelab itu melanggar peraturan EPL secara sistematik selama hampir sedekad.

“Keputusan utama ini menetapkan fakta mengenai apa yang berlaku di Manchester City sepanjang tempoh berkenaan. Ia memperincikan bagaimana kelab itu melanggar peraturan EPL secara sistematik selama hampir sedekad. Kes tatatertib ini dan keputusan tersebut adalah yang paling penting dalam sejarah EPL.

"Dengan keputusan suruhanjaya sudah diperoleh, kami komited untuk bergerak pantas menyelesaikan proses seterusnya bagi memberikan kepastian kepada liga, kelab-kelab serta penyokong," katanya dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya mendapati City mengatur perjanjian komersial yang menyaksikan syarikat terbabit hanya membayar sebahagian jumlah penajaan, manakala baki dibiayai Abu Dhabi United Group Investment and Development (ADUG) milik pemilik kelab, Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan.

Beberapa aturan lain yang dibiayai ADUG turut membolehkan City merekodkan perbelanjaan operasi lebih rendah daripada jumlah sebenar, menyebabkan pendapatan dan perbelanjaan sebenar tidak dilaporkan dengan tepat.

Skim itu didapati meningkatkan pendapatan City lebih £830 juta (RM4.4 bilion), manakala pendapatan hak imej dilebihkan hampir £74 juta (RM399 juta).

Pada masa sama, liabiliti kontrak kakitangan dilaporkan kurang hampir £17 juta (RM91 juta) daripada jumlah sebenar.

Suruhanjaya mendapati City melanggar had perbelanjaan "dengan jumlah yang sangat besar" sekiranya kedudukan kewangan sebenar dilaporkan, selain bersalah atas majoriti pertuduhan berkaitan kegagalan memberikan kerjasama dalam siasatan EPL.

Bagaimanapun, tiada hukuman dikenakan setakat ini dan City berkata mereka akan merayu keputusan berkenaan, manakala keputusan itu dijangka memberi kesan besar kepada bola sepak England termasuk kedudukan City dalam EPL serta persoalan sama ada kejuaraan yang dimenangi kelab itu boleh dilucutkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved