
KUALA LUMPUR - “Saya telah diugut dan ditawarkan jutaan ringgit,”.
Itu pendedahan berani aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, mengenai cabaran serta tekanan hebat yang didakwa dihadapi, selepas mendedahkan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bagaimanapun tegas beliau, ugutan serta tawaran lumayan tersebut langsung tidak menggoyahkan pendiriannya.
Jelas Chegubard, beliau mahu terus berpegang teguh kepada sumpah yang pernah dilafazkan kepada Allahyarham bapanya.
“Hari ini (Selasa) ialah ulang tahun ketiga pemergian Allahyarham bapa saya, Shaharin Sharif, yang menjadi titik tolak kepada perjuangan yang digerakkan hari ini.
“Saya bersumpah di hadapan arwah ayah sambil memegang tangannya selama 20 hingga 30 minit sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya pada sidang media hari ini.
Badrul Hisham berkata, pada ketika itu beliau berjanji akan memberikan sepenuh komitmen untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
“Segala yang saya lakukan, Insya Allah, adalah demi kebenaran dan keadilan. Kami datang daripada keluarga susah. Ayah saya memanjat tiang untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala ibu hanya pekerja pembersihan di sebuah hospital,” katanya.
Menerusi sidang media sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota ATM, termasuk anggota yang sedang berkhidmat, pegawai serta veteran tentera yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan menyalurkan maklumat berkaitan semua isu yang didedahkan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota tentera, pegawai dan veteran yang menghulurkan sokongan serta menyampaikan pelbagai maklumat.
“Saya memberi jaminan bahawa identiti sumber tidak akan didedahkan. Walaupun digantung terbalik, saya tidak akan sesekali membocorkan identiti mereka,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham menjelaskan, pendedahan yang dibuat bukan bersifat peribadi, sebaliknya didorong oleh keprihatinan terhadap nasib anggota bawahan dan veteran ATM yang terhimpit dengan tekanan kehidupan.
“Keadaan menjadi lebih menyayat hati apabila kami melawat rumah-rumah veteran dan keluarga anggota tentera yang tinggal dalam keadaan sempit serta bergelut dengan kos sara hidup.
“Mereka berdepan pelbagai cabaran ketika bertugas, pulang seketika untuk makan dan bertemu anak-anak, sebelum keluar semula menjalankan tugas,” katanya.
Katanya, situasi tersebut amat bertentangan dengan apa yang didakwa berlaku di peringkat atasan, apabila ada pihak tertentu hidup serba mewah dan menyalahgunakan kedudukan masing-masing.
“Pada masa sama, ada pihak di peringkat tertinggi berseronok melobi, memperdagangkan jawatan serta menggunakan pelbagai cara demi kepentingan peribadi.
“Saya akan terus bersuara dan mendedahkan sebarang salah laku bagi menjaga kebajikan anggota ATM serta memelihara maruah institusi pertahanan negara,” tegasnya. - Getaran, 6 Januari 2026
