
Kota Kinabalu: Dua lans koperal polis dijatuhi hukuman penjara berjumlah tujuh tahun dan didenda berjumlah RM95,000 atas pertuduhan menerima rasuah dan bersubahat.
Hakim Mahkamah Sesyen, Jason menjatuhkan hukuman itu terhadap Roslee Abd Rashid, 48, dan Hisyamuddin Sedan, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh pada Selasa.
Terdapat satu pertuduhan yang dikenakan secara bersama manakala Roslee menghadapi tiga pertuduhan dan Hisyamuddin dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan bersama, Roslee dan Hisyamuddin dihukum penjara setahun dan denda RM22,500 atau penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda, kerana menerima RM4,500 daripada Norman sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana membawa sembilan pendatang tanpa izin pada 11 Februari 2019, antara jam 4 petang hingga 8.30 malam di Ladang Bongawan, Papar.
Sementara itu, bagi pertuduhan pertama, Roslee dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda kerana menerima rasuah RM500 juga daripada Norman untuk tujuan sama iaitu tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana membawa sembilan pendatang tanpa izin pada tarikh dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia turut dijatuhi hukuman penjara setahun serta denda RM10,000 atau lima bulan penjara bagi setiap pertuduhan kerana menerima sejumlah RM3,000 daripada seseorang bernama Shim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Norman yang membawa pendatang tanpa izin pada 11 Februari 2019 dan 27 Februari 2019, masing-masing di lokasi yang sama.
Pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Hisyamuddin bagi pertuduhan pertama dan kedua, dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 atau lima bulan penjara bagi setiap pertuduhan kerana bersubahat dengan Roslee melakukan jenayah itu dengan menerima sejumlah RM3,000 daripada Shim dan Norman untuk tujuan yang sama antara 11 Februari 2019 dan 27 Februari 2019 di lokasi sama.
Mahkamah memerintahkan Roslee dan Hisyamuddin menjalani hukuman penjara secara serentak.
Bagaimanapun, permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi dibenarkan dan kedua-dua mereka juga dibebaskan dengan ikat jamin yang sama.
Pihak pendakwaan memanggil 10 saksi manakala pihak pembelaan memanggil tiga saksi sepanjang perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Safiee daripada SPRM mengendalikan pendakwaan manakala peguam Watti Jinius mewakili kedua-dua tertuduh.


