Rasuah pas lawatan IMM13: Dua pegawai penguat kuasa direman

31 Jul 2024 • 9:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Salah seorang pegawai penguat kuasa sebuah agensi ditahan SPRM selepas permohonan reman dibuat di Mahkamah Sandakan dan Tawau pada Rabu.

SANDAKAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berjaya memperoleh perintah tahanan reman terhadap dua pegawai agensi penguat kuasa masing-masing enam dan tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengeluaran pas lawatan IMM13.

Perintah reman terhadap suspek berusia 50-an hingga 6 Ogos ini dikeluarkan oleh Majistret Nur Faezah Jafry di sini manakala penahanan suspek berumur 30-an hingga 7 Ogos dikeluarkan oleh Majistret Don Stiwin Malanjum di Tawau.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki ditahan antara 5.30 petang hingga 7 malam tadi ketika hadir memberi keterangan masing-masing di Pejabat SPRM Sandakan dan Tawau.

Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2022 membabitkan nilai rasuah RM20,000 dan tangkapan dibuat susulan penahanan dua beranak di sini berkaitan kes sama pada Jumaat lepas.

Kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut bersama orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian Filipina yang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Bernama