Terima rasuah projek pembinaan perumahan negara, 3 individu termasuk Datuk direman

31 Jul 2024 • 10:06 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Tiga individu, termasuk seorang Datuk yang juga bekas pegawai di sebuah anak syarikat milik penuh pemaju perumahan negara, direman lima hari kerana dipercayai menerima rasuah membabitkan projek pembinaan di Kuantan berjumlah hampir RM110 juta.

Perintah reman selama lima hari bermula semalam sehingga 3 Ogos terhadap semua suspek itu, dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.

Semua suspek lelaki berkenaan berusia lingkungan 40 hingga 60-an.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek bersama seorang lagi individu, dipercayai menerima wang rasuah daripada satu syarikat pembinaan sebagai balasan kerana bersekongkol bagi menandatangani satu perjanjian pembangunan tambahan (SDA).

Rasuah itu membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

image is not available
Semua suspek bersama seorang lagi individu dipercayai menerima wang rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan sebagai balasan kerana bersekongkol bagi menandatangani satu perjanjian pembangunan tambahan membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB. - Gambar ihsan SPRM, 31 Julai, 2025

“Perjanjian yang ditandatangani ini, dipercayai mengandungi klausa berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

“Semua suspek ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 6.30 hingga 7 petang Isnin, namun seorang dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka dirakamkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tengkapan terhadap ketiga-tiga suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – 31 Julai, 2024