Rasuah RM3 juta, Isa Samad ke tirai besi hari ini

LocalPolitics
10 Feb 2026 • 10:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Isa (tengah) yang memakai kot berwarna kelabu, hadir ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Selasa bagi keputusan rayuan pendakwaan berhubung kes rasuah yang dihadapinya.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad diperintah menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula Selasa oleh Mahkamah Persekutuan di sini atas sembilan kes rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Ini bermakna pemimpin berusia 77 tahun itu akan menyambut Ramadan dan Syawal di sebalik tirai besi.

Mendengar keputusan berkenaan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, anak-anak dan ahli keluarga Mohd Isa yang berada di galeri awam, menangis selepas pihak polis membawanya ke lokap.

Sebelum diiring keluar, Mohd Isa sempat menoleh ke arah mereka yang berada di galeri awam.

Ahli keluarga dan penyokong yang masih terkejut dengan keputusan itu, tidak sempat memeluk bekas veteran UMNO berkenaan.

Bagaimanapun, Bibi Sharliza dan anak-anak dibenarkan untuk bertemu bekas Menteri Negeri Sembilan paling lama berkhidmat itu buat kali terakhir di lokap mahkamah, sebelum dibawa ke penjara Sungai Buloh.

Semasa prosiding, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Nordin Hassan mengarahkan bekas Naib Presiden UMNO berkenaan menjalani hukuman penjara selepas menerima rayuan pendakwaan selaku perayu untuk mensabitkan semula atas kesalahan terbabit.

Semasa membaca keputusan sebulat suara, Nordin yang bersidang bersama Hakim, Datuk Lee Swee Seng Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali berkata, panel mendapati keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan bekas ahli politik itu, adalah terkhilaf.

“Setelah meneliti semua bukti, kami mendapati penemuan hakim perbicaraan disokong oleh bukti dan selaras dengan undang-undang.

“Responden gagal untuk menyangkal anggapan undang-undang di bawah seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 maka, rayuan pihak pendakwaan dibenarkan.

“Unsur-unsur kesalahan menerima wang secara rasuah sebagai ganjaran kerana membantu kelulusan pembelian MPHS telah dibuktikan untuk semua sembilan pertuduhan di bawah seksyen 16(a)(A) Akta SPRM tanpa keraguan munasabah,” katanya.

Justeru beliau berkata, Mahkamah Rayuan telah salah mengaplikasikan anggapan di bawah seksyen 50(1) dan gagal menilai fakta-fakta berkaitan dalam kes ini dengan betul.

Katanya, mahkamah mendapati bahawa sabitan hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi bagi sembilan pertuduhan terhadap responden adalah betul dan selamat.

Menurutnya, dari segi hukuman, kami mendapati bahawa hukuman yang dikenakan oleh hakim perbicaraan adalah wajar dan mengikut undang-undang.

Beliau menegaskan, rasuah merupakan perbuatan keji yang akan memusnahkan sesebuah negara.

“Hukuman enam tahun bagi setiap pertuduhan, yang akan dijalani serentak dan jumlah denda sebanyak RM15.45 juta oleh hakim perbicaraan, merupakan lima kali ganda jumlah suapan yang diterima oleh responden, juga dikembalikan.

“Responden juga perlu menjalani hukuman penjara dua tahun jika gagal membayar denda tersebut,” katanya.

Dalam prosiding ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu manakala peguam, M Athimulan dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat hadir bagi pihak responden.

Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Pada 6 Mac 2024, bekas Menteri Besar itu dilepas dan dibebaskan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman berkenaan.

Panel yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, kini Hakim Mahkamah Persekutuan bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Isa.

Susulan keputusan berkenaan, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun sama dengan mengemukakan 24 alasan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun, denda RM15.45 juta serta penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Pihak pendakwaan menyatakan, mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.

Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.

Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.

Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada ALP GAPSB ketika itu, Ikhwan sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.