IPOH – Rasulullah SAW disifatkan sebagai guru paling agung kerana mendidik umat manusia dengan penuh hikmah, akhlak luhur, kesabaran dan kebijaksanaan sehingga berjaya melahirkan generasi terbaik dalam sejarah Islam.
Perkara itu ditegaskan dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera’ yang disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Jumaat.
Beliau turut menyeru umat Islam menghargai peranan guru sebagai penyambung risalah dakwah Rasulullah SAW.
"Rasulullah SAW membetulkan kesalahan tanpa memalukan, menegur tanpa merendahkan dan mendidik tanpa mematahkan jiwa.
"Lembut pada masanya dan tegas pada tempatnya. Pendekatan Rasulullah SAW merupakan kaedah didikan berhikmah," katanya.
Mohd Azam menegaskan bahawa, tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu sebaliknya membimbing manusia mengenal kebaikan dan membentuk kesejahteraan hidup melalui pendidikan berteraskan hikmah.
Dalam khutbah itu, lima ciri utama guru berhikmah turut digariskan iaitu menggabungkan ilmu dan akhlak, mendidik dengan ikhlas serta amanah, prihatin terhadap keperluan murid, sentiasa meningkatkan kemahiran serta memastikan kecemerlangan akademik seiring pembentukan sahsiah.
Menurutnya, guru yang mendidik secara berhikmah mampu melahirkan warga berilmu, beradab dan bertanggungjawab dalam menjaga hubungan sesama manusia serta alam sekitar.
Sempena sambutan Hari Guru yang diraikan setiap 16 Mei, mimbar turut mengingatkan umat Islam agar mengangkat martabat guru selaras kedudukan ilmu dalam Islam.
"Islam mengangkat tinggi martabat guru, meletakkan guru bertaraf mulia sesuai dengan kedudukan ilmu, muallim dan murabbi yang memikul amanah untuk mencerahkan minda, menyampaikan ilmu dan membina insan sejahtera.
"Hargailah guru-guru yang begitu besar jasa mereka dalam hidup kita. Tunjukkan adab berterima kasih kepada guru dengan menghormati mereka dan menghargai jasa mereka serta mendoakan kesejahteraan mereka," katanya.
Mimbar turut menyeru masyarakat berganding bahu memberi sokongan kepada guru dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berjati diri dan berketerampilan sebagai pelapis kepimpinan negara.
Mengakhiri khutbah, Mohd Azam menzahirkan penghargaan kepada semua guru dengan ucapan 'Terima Kasih Cikgu' atas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa selain mendoakan agar setiap khidmat bakti mereka dikurniakan ganjaran dunia dan akhirat.
Teks khutbah sama turut dibacakan 625 orang warga pendidik yang mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan khutbah di masjid-masjid seluruh Perak.




