Sultan Perak perkenan 625 warga pendidik baca khutbah Jumaat

LocalFamily & Parenting
15 May 2026 • 7:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sultan Perak perkenan 625 warga pendidik baca khutbah Jumaat
Sultan Nazrin hargai peranan dan sumbangan golongan pendidik kepada rakyat serta negara.

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan kepada 625 warga pendidik dan guru menyampaikan khutbah Jumaat sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, khutbah bertemakan 'Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera' sebagai menghargai peranan dan sumbangan golongan pendidik kepada rakyat serta negara.

"Jabatan Pendidikan Negeri Perak mengemukakan nama warga pendidik dan guru dan mendapat perkenan menaiki mimbar membaca khutbah di 625 masjid dan surau di seluruh negeri pada Jumaat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, antara tokoh pendidikan diberi penghormatan termasuk Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad yang akan mengetuai warga pendidik menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri).

Selain itu katanya, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Omar Salleh menjadi khatib di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu, Samad Hassan menyampaikan khutbah di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar.

Tambah beliau, program pengimarahan masjid turut diadakan di Masjid Negeri melibatkan kira-kira 2,000 pelajar dan warga pendidik dengan pengisian seperti program motivasi kerohanian, bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat.

"Sultan Nazrin turut berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama pelajar dan warga pendidik di masjid sama pada hari berkenaan," katanya.