
KUALA LUMPUR: Bekas juara dunia perseorangan wanita 2013 Ratchanok Intanon (gambar) kini telah pulih dan cergas 90 peratus selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali kaki kirinya, pada September tahun lepas.
Pemain badminton Thailand itu, berharap beliau akan dapat pulih sepenuhnya dalam masa terdekat, kerana beliau kini menetapkan sasaran untuk menyertai Sukan Olimpik Paris buat kali keempatnya, yang akan berlangsung dari 26 Julai ke 11 Ogos.
“Kaki saya masih belum pulih 100 peratus, jadi pada masa ini saya perlu berhati-hati,” katanya kepada media pada hari kedua Terbuka Malaysia 2024, di sini hari ini.
Terdahulu, pemain berusia 28 tahun itu dikalahkan pemain pilihan kedua dari China Chen Yu Fei 15-21, 18-21, pada acara Super 1000 berlangsung di Arena Axiata.
Dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik itu, Ratchanok berkata beliau akan merancangnya secara menyeluruh, kerana berhadapan cabaran dari tiga pemain senegaranya termasuk Pornpawee Chochuwong yang juga mahu melayakkan diri ke Paris.
Berdasarkan kepada ranking Race to Paris, Ratchanok kini merupakan pemain Thailand terbaik berada pada kedudukan ke-11 dengan 56,373 mata, manakala Chochuwong berada pada ranking ke-13 dengan 51,979 mata.
Mengikut format kelayakan, setiap negara boleh diwakili oleh maksimum dua pemain perseorangan jika mereka berdua berada dalam kedudukan 16 terbaik.
Tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 bermula Mei tahun lepas dan akan berakhir pada April 2024.
Pada usianya sekarang ini, juara dunia remaja tiga kali itu berkata Paris 2024 berkemungkinan besar menjadi penampilannya yang terakhir pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Kejayaan terbaik Ratchanok di Sukan Olimpik ialah layak ke suku akhir dua kali ketika penampilan pertamanya di London 2012 dan pada Tokyo 2020.
Mengenai prestasi beliau hari ini, Ratchanok melahirkan rasa puas hatinya memandangkan ini kali pertama beliau menyertai mana-mana kejohanan sejak September 2023.
Beliau turut mengakui melakukan pelbagai kesilapan, manakala Yu Fei yang bermain dengan konsisten layak ke suku akhir esok bertemu Gregoria Mariska Tunjung, selepas pemain Indonesia itu mengalahkan pemain negara Goh Jin Wei 21-15, 24-22. -Bernama
