TELUK INTAN - Ratusan mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang memasuki hari keempat melanda daerah Hilir Perak di sini pada Isnin.
Setakat jam 8 pagi, seramai 413 mangsa daripada 123 keluarga ditempatkan di dua PPS yang dibuka sejak 6 November lalu.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN), PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap menempatkan 136 mangsa daripada 39 keluarga, manakala 277 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di Dewan Rumah Rehat MPTI.
Kesemua mangsa yang dipindahkan masing-masing dari enam kawasan terjejas iaitu Kampung Batu 9 Changkat Jong, Kampung Batu 11½ Jalan Bidor dan Kampung Batu 8 Changkat Jong.
Turut terjejas ialah Kampung Batu 7½ Jalan Changkat Jong, Kampung Batu 10 Changkat Jong serta Ladang Moccis.
Situasi banjir di daerah itu masih memerlukan perhatian apabila bacaan paras air Sungai Bidor di stesen Changkat Jong kekal pada tahap bahaya.
**media[3704271]**
Berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air sungai berkenaan mencatatkan bacaan 3.53 meter, melepasi paras bahaya 3.50 meter setakat jam 8 pagi Isnin.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di daerah Hilir Perak mengalami hujan ribut bermula pagi hingga malam ini.
Untuk rekod, negara kini berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027.
Fasa berkenaan lazimnya membawa hujan lebat berterusan, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung serta beberapa kawasan lain yang berisiko mengalami banjir.





![[VIDEO] Laluan banjir, tetamu kenduri kena ‘angkut’ naik traktor](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/989110f8-607f-4fdb-94b9-094bf6632eda-1024x768.jpeg)
