Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat

9 Nov 2026 • 11:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat

PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di Perak mencatatkan sedikit peningkatan manakala di Selangor terus menunjukkan trend penurunan, menjadikan keseluruhan sebanyak 654 orang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pagi ini.

Di Perak, situasi di Hilir Perak menyaksikan pertambahan mangsa kepada 439 orang daripada 130 keluarga pagi ini, berbanding 414 orang membabitkan 123 keluarga petang semalam.

Sementara itu, sebanyak 26 mangsa ribut daripada tujuh keluarga kekal berada di PPS Dewan Komuniti Manjung terdiri daripada penduduk Pekan Beruas, Taman Beruas, Taman Desa, Perumahan Awam, Taman Seri Delima, Taman Limau Emas, Taman Anggerik, Kampung Kilang, Kampung Dendang dan Kampung Paya Lima.

Selain itu, paras air di dua sungai dilaporkan melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Kinta di Tanjung Tualang dengan bacaan 13.78 meter dan Sungai Bidor di Changkat Jong (3.53 meter).

Di Selangor, situasi bertambah baik apabila mangsa yang ditempatkan di PPS berkurangan kepada 215 orang daripada 55 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 507 orang membabitkan 143 keluarga semalam.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua PPS beroperasi di Kuala Selangor iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, yang menempatkan 100 orang daripada 23 keluarga dan SK Jaya Setia (68 mangsa, 20 keluarga), manakala SK Dato’ Maharaja Lela kekal diaktifkan walaupun tiada penghuni direkodkan.

Di Shah Alam pula, sebanyak 47 mangsa daripada 11 keluarga dilaporkan berlindung di PPS Dewan Siantan Kampung Melayu Subang, Seksyen U6.

Sementara itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, sembilan jajahan di Kelantan dijangka dilanda banjir membabitkan Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.

PRABN turut meramalkan beberapa kawasan di Pahang membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir bermula semalam hingga Rabu ini, terutamanya di lokasi berisiko tinggi serta kawasan tanah rendah.

Di Terengganu, amaran waspada sama dikeluarkan bagi enam daerah iaitu Setiu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Besut, Hulu Terengganu dan Marang. – UTUSAN

The post Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved