
Ratusan rakyat Thailand berhimpun di hadapan Kedutaan Israel di Bangkok bagi mengadakan bantahan awam terhadap kehadiran warga asing dari Israel di negara itu pada Khamis.
Memetik SCMP, himpunan itu berlaku susulan penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan berkenaan pemilikan tanah secara haram, tidak menghormati budaya tempatan serta pertambahan rumah ibadat warga Israel.
Kebimbangan ini turut dirasai sebahagian penduduk tempatan di negara jiran, Filipina dan Sri Lanka.
Rakyat Thailand Protes Kehadiran Warga Israel

Sebelum ini, warga Israel mula berpusu-pusu ke Thailand sejak tercetusnya perang Gaza susulan serangan Hamas pada 7 Oktober terhadap Israel.
Sebahagian daripada mereka merupakan anggota tentera Israel, yang datang ke Thailand untuk berehat dan mendapatkan sedikit kelegaan daripada konflik yang berlarutan.
Isu kemasukan warga Israel ke Thailand ini mendapat perhatian selepas timbul dakwaan mengenai pembelian tanah secara haram di beberapa kawasan strategik negara itu.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila beberapa perselisihan antara warga Israel dan penduduk tempatan berlaku di Pulau Phangan, Samui serta kawasan pergunungan Pai.
Antara isu yang diperkatakan termasuk isu bil tidak dibayar, tingkah laku tidak senonoh di tempat awam serta tindakan beberapa premis perniagaan di Thailand mempamerkan bendera Palestin.
Insiden dan pertikaian berkenaan kemudian tular di media sosial, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua pihak.
Dalam perhimpunan itu, orang ramai membawa bendera Thailand serta sepanduk dengan mesej seperti "Selamatkan Thailand", "Thailand Bukan Untuk Dijual" dan "Ini Bukan Tanah Yang Dijanjikan".
Aktivis, Sondhi Limthongkul, 78, yang mengetuai perhimpunan itu berkata Thailand sememangnya terkenal dengan sikap terbuka dan layanan baik terhadap pelawat asing.

“Namun, kedutaan dan kerajaan Israel perlu memahami bahawa kemurahan hati rakyat Thailand tidak boleh dianggap sebagai kelemahan,” katanya.
Beliau mendakwa kehadiran warga Israel di negara itu semakin membimbangkan kerana ada antara mereka yang didakwa mahu menguasai Thailand dan membina komuniti sendiri.
Baca juga:
43 Anggota, Operasi Lima Hari Selamatkan Pendaki Croatia Terjatuh Di Gunung Kinabalu
Khairul Aming Pecah Rekod Baharu, Raih Jualan ‘Live Stream’ RM4.4 Juta
"Layanan baik bukan bermakna kami bersedia dieksploitasi,manakala sikap menghormati tetamu bukan tiket untuk sesiapa bertindak sesuka hati di negara berdaulat ini.
"Kesabaran rakyat Thailand sudah sampai ke penghujung," tegasnya.
Dalam pada itu, Sondho juga telah menyerahkan surat kepada pihak kedutaan dan menggesa kerajaan Thailand mengambil tindakan bagi membanteras perniagaan yang melanggar undang-undang.
Israel Tegaskan Tiada Hasrat Kuasai Thailand

Sebelum perhimpunan tersebut, Duta Israel ke Thailand, Alona Fisher-Kamm tampil menjelaskan isu yang didakwa mencetuskan kemarahan rakyat Thailand, termasuk beberapa insiden tular melibatkan warga Israel.
Beliau mengakui terdapat sebilangan kecil pelancong Israel yang berkelakuan tidak baik, namun menegaskan tiada usaha untuk "menjajah" Thailand seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menurutnya, sebahagian insiden yang tular mungkin berpunca daripada salah faham, termasuk pelancong Israel tidak memahami budaya atau undang-undang tempatan.
"Majoriti pelancong Israel ialah pelancong yang baik, mereka tidak mencetuskan masalah dan diterima baik oleh rakyat Thialand," katanya pada 3 September lalu.





