30 rakyat Malaysia ditahan disyaki terlibat penipuan dalam talian di Pontianak

11 Sep 2026 • 8:35 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

30 rakyat Malaysia ditahan disyaki terlibat penipuan dalam talian di Pontianak

JAKARTA, 11 SEPT: Pihak berkuasa Indonesia menahan 30 rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan kerana disyaki terlibat aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat.

Ketua Pejabat Imigresen Pontianak Sam Fernando berkata rakyat Malaysia berkenaan, yang terdiri daripada 22 lelaki dan lapan wanita, serta seorang lelaki warga Taiwan itu, dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Pontianak untuk disoal siasat.

"Sasaran kemungkinan besar warga Malaysia. Mereka didakwa cuba menipu warga Malaysia. Berdasarkan maklumat yang kami peroleh setakat ini, tiada warga Indonesia dalam kalangan sasaran," katanya pada sidang media semalam, menurut video yang dimuat naik dalam talian.

Sam berkata pejabatnya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan dalam meneruskan siasatan.

Beliau berkata 31 warga asing itu ditahan menerusi operasi bersama Polis Bandar Raya Pontianak di sebuah hotel kira-kira 11.15 pagi Selasa susulan risikan berhubung kegiatan mencurigakan membabitkan warga asing.

Menurut Sam, beberapa barangan yang dikaitkan dengan aktiviti yang disyaki turut dirampas.

Pihak berkuasa imigresen menjalankan pemeriksaan ke atas identiti mereka, dokumen perjalanan, permit tinggal dan sama ada aktiviti mereka konsisten dengan permit yang dikeluarkan.

“Tiga warga Malaysia didapati tinggal lebih masa manakala terdapat juga penyalahgunaan permit tinggal untuk aktiviti yang tidak mengikut tujuan mereka diberikan,” katanya.

Sam berkata kumpulan itu telah menggunakan 14 bilik di tingkat tiga sebuah hotel untuk mengendalikan aktiviti mereka dan pihak berkuasa turut mengambil kenyataan daripada pekerja hotel.

Katanya, warga asing itu tidak tiba bersama, dengan ada yang masuk melalui lapangan terbang Pontianak, lintasan sempadan darat Entikong dan Jakarta menggunakan pelbagai jenis permit imigresen.

"Tempoh masa mereka berada di sini berbeza-beza. Ada yang berada di sini selama dua bulan, manakala yang lain selama tiga minggu. Mengenai kerugian, kami tidak dapat memberikan butiran buat masa ini kerana siasatan dan soal siasat masih diteruskan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved