Rawatan IVF bukan lagi untuk golongan 'kayangan'

LocalHealth & Fitness
29 Apr 2026 • 12:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Ab Rahman (kanan) menunjukkan kemudahan yang ada untuk proses IVF pada Majlis Penjenamaan Semula Perkhidmatan Infertiliti HPUSM pada Selasa.

KOTA BHARU - Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi eksklusif untuk golongan kayangan apabila Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menawarkan perkhidmatan itu pada kos jauh lebih rendah berbanding pusat rawatan lain di negara ini.

Pengarah HPUSM, Datuk Dr Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata, ia bagi memastikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah turut menikmati peluang memiliki zuriat.

"Kos rawatan IVF di HPUSM bermula RM5,680 tidak termasuk ubat-ubatan dan caj penginapan.

"Secara purata, pesakit disaran menyediakan sekitar RM10,000, namun kebanyakan mereka tidak menggunakan jumlah penuh tersebut. Ini antara kos paling rendah berbanding hospital universiti lain atau hospital swasta," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penjenamaan Semula Perkhidmatan Infertiliti HPUSM di sini pada Selasa.

Hadir sama Penyelaras Perkhidmatan Infertiliti HPUSM, Profesor Madya Dr Adibah Ibrahim.

Menurut Dr Ab Rahman, lebih 50 bayi selamat dilahirkan menerusi program IVF HPUSM sejak 2014 manakala jumlah pesakit mendapatkan rawatan seramai 400 orang dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ujarnya, kadar kejayaan rawatan juga setanding standard antarabangsa iaitu sekitar 20 hingga 25 peratus dengan data terkini mencatatkan 24.7 peratus kadar kelahiran bayi.

"Dari awal penubuhan 12 tahun lalu, kami hanya melakukan sekitar lima kitaran setahun, kemudian meningkat kepada 10 kitaran.

"Sekarang kami mengendalikan sekitar 20 hingga 50 kitaran setahun," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui majoriti pesakit hadir berusia lebih 35 tahun kerana ramai menangguhkan perkahwinan, mengejar kerjaya atau mengukuhkan kewangan terlebih dahulu.

Dr Ab Rahman berkata, peluang kehamilan lebih baik jika rawatan dimulakan sebelum usia 35 tahun kerana tahap kesuburan wanita akan menurun selepas usia tersebut.

"HPUSM juga berusaha mengubah stigma masyarakat terhadap pasangan sukar memperoleh zuriat supaya lebih ramai berani tampil mendapatkan rawatan awal.

"Kami mahu rakyat tahu rawatan ini bukan lagi untuk golongan kayangan. Kualitinya kayangan, harganya marhaen," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved