MENJELANG sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, masyarakat Islam lazimnya sibuk membuat pelbagai persiapan. Dari membeli pakaian baharu, menyediakan juadah istimewa, sehinggalah merancang perjalanan pulang ke kampung halaman. Aidilfitri sememangnya menjadi simbol kegembiraan dan kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa.
Namun begitu, sambutan perayaan pada tahun ini berlaku dalam suasana ekonomi global yang semakin tidak menentu. Ketegangan geopolitik di beberapa bahagian dunia memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi global dan akhirnya turut dirasai oleh isi rumah di negara kita.
Salah satu perkembangan yang menjadi perhatian dunia ialah konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel. Ketegangan ini bukan sekadar isu politik atau keselamatan serantau, tetapi turut memberi kesan kepada ekonomi global, khususnya pasaran tenaga dan rantaian logistik antarabangsa.
Salah satu kawasan yang menjadi tumpuan dunia ialah Selat Hormuz, laluan maritim yang sangat penting bagi perdagangan minyak dunia. Dianggarkan sekitar 20 peratus bekalan minyak global melalui laluan ini setiap hari. Sebarang gangguan terhadap laluan ini akan memberi kesan besar kepada harga minyak dunia dan kos pengangkutan global.
Konflik semakin memuncak menyebabkan kapal dagang dan kapal tangki minyak mengelakkan laluan tersebut kerana faktor keselamatan dan risiko peperangan. Syarikat perkapalan juga mengenakan caj risiko perang dan kos insurans yang lebih tinggi. Akibatnya, kos logistik global meningkat dengan ketara dan memberi kesan kepada harga barangan di seluruh dunia.
Dalam masa yang sama, harga minyak dunia juga menunjukkan peningkatan yang ketara apabila pasaran bimbang terhadap kemungkinan gangguan bekalan tenaga dari rantau Timur Tengah. Penganalisis memberi amaran bahawa konflik berpanjangan boleh menyebabkan harga minyak melonjak melebihi paras biasa serta memberi tekanan kepada ekonomi global.
Kesan daripada perkembangan ini akhirnya sampai kepada pengguna biasa. Apabila harga minyak meningkat, kos pengangkutan juga meningkat. Apabila kos pengangkutan meningkat, harga makanan, barangan keperluan dan pelbagai produk lain turut meningkat. Inilah yang sering dirujuk sebagai kesan rantaian dalam ekonomi global.
Dalam keadaan seperti ini, isi rumah perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan, khususnya ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Pada masa kini, salah satu trend yang semakin popular dalam kalangan pengguna ialah penggunaan kemudahan beli dahulu bayar kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL). Perkhidmatan ini sememangnya memudahkan pengguna membuat pembelian tanpa perlu membayar keseluruhan harga secara serta-merta.
Namun begitu, tanpa perancangan kewangan yang baik, kemudahan ini boleh menjadi perangkap hutang yang berbahaya. Ramai pengguna mungkin beranggapan jumlah bayaran bulanan yang kecil tidak memberi kesan besar kepada kewangan mereka. Tetapi apabila beberapa komitmen pembayaran terkumpul pada masa yang sama, ia boleh menjadi beban kewangan yang sukar ditanggung.
Tambahan pula, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu seperti sekarang, risiko kewangan menjadi lebih tinggi. Tiada siapa dapat memastikan bilakah ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global akan berakhir. Oleh itu, pendekatan yang lebih berhati-hati amat diperlukan.
Dalam menghadapi situasi ini, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh isi rumah bagi memastikan kestabilan kewangan keluarga terus terpelihara.
Pertama, masyarakat perlu merancang perbelanjaan Aidilfitri dengan lebih bijak. Sediakan bajet yang jelas untuk setiap kategori perbelanjaan seperti pakaian, makanan, perjalanan dan sumbangan kepada keluarga. Perbelanjaan yang dirancang dengan baik dapat mengelakkan pembelian secara impulsif.
Kedua, utamakan keperluan berbanding kehendak. Hakikatnya, kemeriahan Aidilfitri tidak semestinya bergantung kepada perbelanjaan yang besar. Nilai sebenar Aidilfitri terletak pada hubungan kekeluargaan, semangat kunjung mengunjung, kemaafan dan kesyukuran.
Ketiga, gunakan kemudahan kredit seperti BNPL dengan penuh disiplin. Elakkan daripada membuat pembelian yang melebihi kemampuan kewangan semasa. Setiap keputusan kewangan yang dibuat hari ini akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan pada masa hadapan.
Keempat, isi rumah perlu berusaha membina simpanan kecemasan. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, simpanan kewangan merupakan benteng penting bagi menghadapi sebarang kejutan ekonomi seperti kehilangan pekerjaan, kenaikan kos hidup atau krisis ekonomi.
Akhir sekali, budaya pengurusan kewangan yang baik perlu dipupuk dalam institusi keluarga. Tatakelola kewangan yang berhemah di peringkat isi rumah bukan sahaja membantu meningkatkan kesejahteraan keluarga, malah menyumbang kepada kestabilan ekonomi masyarakat secara keseluruhannya.
Hakikatnya, ketidaktentuan geopolitik dunia mungkin akan terus berlarutan untuk tempoh yang sukar diramalkan. Namun begitu, dengan perancangan kewangan yang bijak dan sikap berbelanja secara berhemah, masyarakat masih mampu menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran tanpa dibebani tekanan kewangan yang berpanjangan.
Aidilfitri seharusnya menjadi medan untuk memperkukuh nilai kesederhanaan, kesyukuran dan kebersamaan. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, nilai-nilai inilah yang sebenarnya menjadi kekuatan kepada masyarakat.
*** Profesor Dr Mohd Abdullah Haji Jusoh, Jabatan Pengurusan Lojistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia




