MEMASUKI hari ke-21 umat Islam berpuasa, bahang Aidilfitri kian terasa.
Di pusat beli-belah khususnya pada hujung minggu sesak dengan pengunjung, begitu juga di kebanyakan jalan pusat bandar utama.
Platform dalam talian juga semakin rancak membuat promosi busana raya yang pastinya membuatkan ramai kaum Hawa mula rambang mata.
Mana tidaknya, pelbagai rekaan dan koleksi baharu ditampilkan dan penggayaan baju kebaya atau baju kurung bersama selendang di bahu yang cukup sinonim dengan gaya wanita Melayu zaman dahulu dilihat bakal popular Aidilfitri tahun ini.
Pemilihan artis popular seperti Fazura, Que Haidar, Fattah Amin dan Amira Othman sebagai duta jenama pastinya menjadi strategi ampuh bagi menarik perhatian pelanggan.
Melihat keanggunan dan ketampanan mereka memperagakan busana raya, tidak hairanlah ramai yang mula memasang angan-angan untuk tampil sama bergaya pada pagi Syawal.
Ada yang sanggup berbelanja besar, membeli sepasang baju pada harga tidak masuk akal, malah tidak kurang juga membeli sehingga puluhan pasang demi memenuhi cita rasa dan trend semasa.
Bukankah itu satu bentuk pembaziran? Itu belum termasuk pakaian anak-anak, suami serta kelengkapan dan hiasan rumah yang keseluruhannya mampu mencecah ribuan ringgit.
Pepatah Melayu ada mengingatkan, ukurlah baju di badan sendiri. Jangan kerana mahu bergaya di pagi raya, baju diukur di badan duta selebriti.
Sudahnya, diri yang sengsara selepas habis raya kerana poket yang hampir kosong disebabkan berbelanja seperti tidak ingat dunia.
Tidak salah mahu tampil berbeza sebagai meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi perlulah sedar diri.
Aidilfitri sememangnya hari untuk bergembira, berhias dan mengeratkan silaturahim. Namun sikap berpada-pada perlu menjadi keutamaan agar kegembiraan itu tidak bertukar menjadi tekanan kewangan.
Dalam kos sara hidup yang semakin meningkat, perbelanjaan tanpa kawalan boleh memakan diri.
Malah, ada juga yang sanggup menggunakan kemudahan ‘beli sekarang bayar kemudian’ atau kad kredit semata-mata mahu sakan bergaya.
Hakikatnya, kegembiraan sebenar bukan terletak pada jenama atau harga pakaian, tetapi pada kebersamaan dan kesyukuran.
Pelakon terkenal, Nad Zainal wajar dijadikan contoh apabila memilih untuk bersederhana pada Aidilfitri kali ini bagi mengelak pembaziran.
Malah ibu kepada tiga anak itu turut mendakwa sudah pun membeli pakaian raya untuk sesi keluarga pada harga di bawah RM100 sepasang.
"Misi nak berjimat tahun ini, nak menyimpan untuk anak-anak, tuisyen dan sebagainya.
"Jenama murah-murah. Apa yang penting kena lawa. Soal jenama tolak ke tepi," tulisnya di Threads.
Sikapnya yang enggan membazir bukan saja dapat pujian, malah ramai yang mengikut jejak langkahnya bersederhana tahun ini.
Kita perlu bezakan antara keperluan dan kehendak. Jika pakaian tahun lalu masih elok dan muat dipakai, tiada salahnya menggayakan semula.
Selain pakaian, perbelanjaan yang lain-lain juga perlu dikawal. Jangan pula semuanya mahu diganti dengan yang baharu.
Selain itu, jangan dilupa minggu-minggu terakhir Ramadan juga sepatutnya dimanfaatkan untuk meningkatkan ibadah, bukan semata-mata mengejar jualan murah.
Kesimpulannya berbelanja untuk raya tidak salah, malah ia sebahagian daripada tradisi menyambut Aidilfitri. Lakukanlah dengan bijak dan terancang.
*Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan

