Kegembiraan Hari Raya pada tahun 1980-an sehingga 1990-an bagai disaksikan dengan nyata oleh rumah opah sehinggalah aku berkahwin pada tahun 1999. Keluarga aku akan berada di rumah opah, kampung baba kira-kira dua malam sebelum hari raya lagi.
“Kamu tidur dengan adik-adik kamu di dalam bilik depan sekali tu,” uteh terus mengarah aku sebaik sahaja sampai di kampung. Ketika itu adik-adik aku masih kecil sudah riang berkejaran bermain dengan sepupu sepapat mereka.
Kadang-kala, kedengaran jeritan suara opah dari dapur, “Abih runtuh rumah aku...,” tatkala derapan tapak kaki mereka deras mengetuk lantai rumah kayu yang menusuk gegendang telinga opah. Namun, atuk tidak lagi bersama kami untuk berhari raya semenjak 7 September 1980.
Sewaktu berbuka puasa, semua cucu opah duduk tertib menghadap hidangan. Kami dibahagi kumpulan remaja dan kanak-kanak agar tidak mengganggu makcik dan pakcik kami untuk berbuka.
Mainan bunga api besi atau kertas dan mercun das atau gasing adalah tradisi cucu-cucu opah di malam hari. Riuh-rendah gelak tawa kami di bawah cahaya pelita panjut yang dipasang oleh angah berbaris rapi di depan laman rumah opah.
“Main elok-elok. Takut satgi api kena baju. Habih tangan melecur,” pesan angah yang sibuk mengisi minyak tanah ke dalam pelita panjut.
Satu hari sebelum raya, sepupu lelaki pula sibuk mengisi santan kelapa berlemak ke dalam buluh berlapikkan daun pisang yang berisi beras pulut untuk dibuat lemang.
Ada yang menjadi tukang kipas api sambil bertenggung menunggu lemang masak. Bau semerbak rendang daging di dalam kawah dari air tangan opah tiada tandingan. Kuih goyang dan biskut putu pula menu wajib menyempurnakan hidangan tradisi raya kami.
“Kamu bentangkan 10 kain saprah. 4 orang dalam satu saprah.” Ucu siap mengingatkan aku sambil tanganku mengira berapa lagi saprah yang nak dibentangkan.
Pinggan mangkuk dan set cawan piring duralex warna jernih, hijau dan coklat muda siap disusun di atas kain saprah di ruang tamu
atas rumah menanti kedatangan tetamu beraya dan bertakbir dari masjid selepas solat sunat Aidilfitri. Itulah tradisi tetamu opah setiap kali menjelangnya pagi raya.
Sementelahan itu, cucu-cucu, anak dan menantu saling salam bermaafan dan menghulur duit raya. Amalan bersedekah sesama kaum kerabat seikhlas hati. Bukan jumlah besar yang diharapkan tetapi pahala berbuat baik yang dicari sambil mengeratkan lagi silaturrahim sesama kami.
Diindahkan lagi dengan bergambar raya sambil menggayakan baju yang ditempah bermacam fesyen dan kain ela pelbagai jenis. Setiap tahun kedai nyonya jahit baju yang paling sibuk terima tempahan kami sekeluarga dan melayani aneka ragam.
Sambungan raya kedua kami pula menziarahi kubur atuk dengan taburan hirisan daun pandan dan bunga kertas diracik-racik dalam bauan air mawar, harum mewangi di atas pusara atuk.
Sesungguhnya raya dahulu yang happening bagaikan kehilangan meskipun kini dalam sambutan dan gaya berbeza. Rumah opah tetap aku ziarahi jua walaupun opah telah tiada. Masa tidak akan berputar. Kita hidup seadanya. Lafaz syukur tiada henti. Nikmat jangan dikufuri.
Kongsi kisah #RAYA2026 anda dan rebut peluang memenangi hadiah bernilai sebanyakRM3,000!
Ketahui cara penyertaan di sini. Jangan lepaskan peluang! T&S terpakai.
Ana Muzi (mzpenakarya210821@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
