Tragedi UPSI buat suasana Aidilfitri keluarga Nurly berbeza, baju lama pengubat rindu – ‘Biasa arwah sibuk pasang pelita minyak tanah’

LocalFamily & Parenting
16 Mar 2026 • 11:23 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

SYAWAL tiba membawa kegembiraan dan kehangatan dalam setiap rumah. 

Namun bagi keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman, Aidilfitri tahun ini dirasai dengan perasaan berlainan, ada ruang kosong yang tidak dapat diisi, ada senyuman yang tiada lagi di sisi.

Bapanya, Azman, meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap anak bongsu daripada lima beradik itu, yang sentiasa menjadi sumber keceriaan keluarga setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Selalunya menjelang raya, Nurly yang paling sibuk menyalakan pelita minyak tanah di sekeliling rumah. Suasana kali ini memang berbeza tanpa dia,” kata Azman.

Allahyarhamah dikenali sebagai seorang anak yang penyayang, rajin memasak dan suka menjemput sepupu serta ahli keluarga menikmati masakan air tangannya. 

image is not available

Setiap kali sepupunya mengenakan pakaian milik Nurly, Azman merasakan seolah-olah kehadiran anaknya masih ada di sisi.

Ibu Nurly, Kamariah, turut berkongsi, walaupun arwah telah tiada lebih sembilan bulan, ramai yang masih menziarahi kuburnya.

Setiap hari, selepas menunaikan solat di masjid, mereka akan membersihkan kubur, lebih istimewa pada bulan Ramadan, kunjungan dilakukan pada waktu petang sebagai tanda penghormatan.

image is not available

Azman juga menyimpan pakaian lama Nurly sebagai cara untuk melepaskan rindu. 

“Kadang-kadang bila rindu, saya hanya lihat baju itu saja,” katanya dengan penuh kesayuan.

Sekadar makluman, Allahyarhamah merupakan antara mangsa tragedi kemalangan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak. 

image is not available

Kejadian tersebut bukan sahaja meragut nyawa pelajar, tetapi meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang terpaksa menerima kehilangan secara tiba-tiba.

Walaupun hati masih diliputi kesedihan, Azman menegaskan bahawa mereka reda dengan ketentuan Ilahi dan cuba meneruskan kehidupan bersama ahli keluarga lain. 

Kenangan indah bersama Nurly tetap tersemat dalam ingatan, lebih-lebih lagi setiap kali Aidilfitri menjelang detik yang dahulunya dipenuhi tawa, kini menjadi memori yang kekal abadi.

Sumber BH Online