KAMPAR – Kerajaan diminta menyelaraskan harga diesel di seluruh negara termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan pekerja dan pengusaha dalam sektor pembinaan serta pertanian.
Seorang kontraktor, Darren Chin, 41, berkata, kenaikan harga diesel ketika ini memberi kesan langsung kepada peningkatan kos bahan binaan susulan pelbagai kos tersembunyi yang terpaksa ditanggung pihak industri.
Menurutnya, penggunaan diesel yang meluas dalam sektor pembinaan termasuk bagi jentera seperti jengkaut, jentolak dan lori menyebabkan hampir 90 peratus operasi bergantung kepada bahan api itu.
"Bila harga diesel naik, kos bahan seperti batu dan ‘crusher run’ turut meningkat.
"Pembekal tidak lagi mampu menyerap kos tersebut, akhirnya harga barang binaan juga terpaksa dinaikkan,” katanya ketika ditemui pada program flash mob harga diesel di tempat letak kereta Pasar Awam Kampar pada Rabu.
Darren berkata, walaupun tidak membantah langkah kerajaan, namun aspek kebajikan rakyat perlu diberi perhatian secara menyeluruh.
“Kita minta kerajaan fikir secara adil. Kalau Sabah dan Sarawak boleh dapat harga diesel RM2.15 seliter, rakyat di Semenanjung juga berhak menikmati kadar yang sama,” katanya.
Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Kampar, Daniel Wa berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan berhubung kenaikan harga diesel yang kini mencecah RM4.72 seliter.
Menurutnya, peningkatan itu memberi tekanan besar kepada pengguna kenderaan diesel termasuk petani, penternak dan peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda.
"Ramai yang datang mengadu kos minyak meningkat mendadak.
"Sekali isi penuh tangki boleh mencecah ratusan ringgit, ini sangat membebankan mereka,” katanya.
Beliau berkata, golongan berkenaan tidak mempunyai banyak pilihan termasuk menukar kepada kenderaan elektrik berikutan kekangan kewangan dan keperluan kerja.
"Kerajaan perlu campur tangan dan mempertimbangkan pemberian subsidi atau kawalan harga diesel seperti dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
"Tidak wajar wujud perbezaan ketara kerana semua adalah rakyat Malaysia. Kita hanya minta harga yang sama rata untuk kurangkan beban,” katanya.
Tambahnya, program flash mob yang disertai kira-kira 25 peserta itu bertujuan menyuarakan suara rakyat tanpa melibatkan kepentingan politik.
Ketika ini harga semasa diesel bagi Semenanjung meningkat sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter manakala untuk Sabah dan Sarawak kekal pada harga RM2.15 seliter sehingga 25 Mac 2026

