Rayuan bekas Majistret ketepi hukuman kes rasuah ditangguh 3 Disember

LocalPolitics
3 Nov 2026 • 3:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rayuan bekas Majistret ketepi hukuman kes rasuah ditangguh 3 Disember

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 3 Disember bagi tarikh baharu pendengaran rayuan seorang bekas Majistret berhubung hukuman penjara 12 tahun dan denda RM1.05 juta yang didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas peguam Nor Shahid Abd Malik yang mewakili perayu Mohamad Amin Shahul Hamid, 43, memaklumkan masih meneliti fakta-fakta kes selain memberi peluang kepada pihak pembelaan membuat persediaan sewajarnya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K.Muniandy.

Terdahulu Hakim Muniandy bertanya mengapa pihak pembelaan dilihat seolah-olah tidak bersedia berikutan peguam itu tidak dapat menjawab beberapa soalan yang dikemukakan mengenai isu-isu yang dibangkitkan berhubung hukuman itu.

“Kamu (peguam) nampak tidak bersedia, sedangkan ini rayuan terakhir anak guam kamu,” kata Muniandy.

Mendengar perkara itu, peguam tersebut memaklumkam dia baharu mengambil alih kes berkenaan di peringkat rayuan dan memohon prosiding hari ini ditangguhkan bagi memberinya masa untuk meneliti semula hujahan bertulis.

Namun permohonan penangguhan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin atas alasan kes berkenaan sudah beberapa kali ditangguhkan.

“Saya bukan tiada perikemanusiaan Yang Arif, tetapi kes ini sudah beberapa kali ditangguh. Mungkin pihak peguam boleh diberi masa selama satu jam untuk bersedia,” katanya.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan penangguhan tersebut.

Pada 17 Januari 2025, Mahkamah Tinggi Kuantan, mengekalkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang bekas majistret yang disabitkan bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mohamad Amin dan mengekalkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen.

Hakim turut mengarahkan Mohamad Amin untuk menjalani semua hukuman penjara secara serentak iaitu 12 tahun dan membayar denda RM1.05 juta bermula hari ini, yang mana jika gagal membayar denda boleh dikenakan hukuman penjara tambahan selama 72 bulan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Amin yang pernah berkhidmat sebagai majistret di Raub dan Lipis didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh. – KOSMO! ONLINE

The post Rayuan bekas Majistret ketepi hukuman kes rasuah ditangguh 3 Disember appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved