
KUANTAN – Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas didapati bersalah atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Sazlina Safie berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir pembelaan tertuduh, sekali gus membolehkan sabitan dibuat bagi kesemua pertuduhan.
“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen yang memenuhi kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi 46 tuduhan itu,” katanya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Mahkamah turut membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Mohd Azhar sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Jumlah jaminan tertuduh turut dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM30,000 sementara menunggu proses rayuan.
Dalam hujahan mitigasi, peguam bela, Datuk Bob Arumugam memohon mahkamah mengenakan hukuman denda berbanding penjara dengan mengambil kira rekod perkhidmatan Mohd Azhar selama lebih 30 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Arumugam berkata, sabitan kesalahan itu membawa implikasi serius terhadap anak guamnya, termasuk kehilangan pendapatan, hak pencen, ganjaran perkhidmatan, kerjaya, nama baik serta status sosial sebagai pegawai polis. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dipenjara lapan bulan appeared first on Kosmo Online.






