Rayuan ketepi sabitan kes rogol Da’i Syed diputuskan hari ini

4 Nov 2026 • 10:00 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Mahkamah Rayuan dijadualkan menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwah selebriti, Da’i Syed berhubung sabitan kesalahan merogol seorang wanita, hari ini.

Image from: Rayuan ketepi sabitan kes rogol Da’i Syed diputuskan hari ini

Foto: Kosmo

Memetik laporan Sinar Harian, Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, membawa rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadapnya.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan berkenaan diketuai Datuk Azman Abdullah, bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Syed Shah Iqmal yang mengenakan jubah putih tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi dengan ditemani isterinya, Hana Ismail.

Ketika pendengaran pada 3 Ogos lalu, peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Datuk M. Athimulan yang mewakilinya mempertikaikan penilaian Mahkamah Sesyen ketika mensabitkan perayu.

Pembelaan berhujah bahawa terdapat kelemahan dalam kes pendakwaan, khususnya berhubung isu persetujuan, selain mendakwa keterangan menunjukkan hubungan seksual itu berlaku secara suka sama suka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim membantah hujah tersebut dan menyatakan keterangan mangsa serta bukti keadaan menyokong kes pendakwaan.

Menurut pendakwaan, tindakan wanita itu mengikut perayu ke rumahnya atau kelewatan membuat laporan polis tidak bermakna dia bersetuju melakukan hubungan seksual.

Kes berkenaan bermula apabila Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah pada 10 Disember 2020 atas pertuduhan merogol wanita yang ketika kejadian berusia 23 tahun.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskannya pada akhir kes pendakwaan. Namun, keputusan itu kemudian diketepikan Mahkamah Tinggi yang membenarkan rayuan pendakwaan dan mengarahkannya membela diri.

Selepas perbicaraan diteruskan, Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan pada 30 Ogos 2024. Pelaksanaan hukuman itu kemudian ditangguhkan pada 20 September tahun sama sementara menunggu rayuannya diputuskan.

Pada 23 Januari 2026, Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

“Keterangan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata. Tiada alasan khas bagi penangguhan hukuman,” kata hakim ketika menyampaikan keputusan tersebut.

Syed Shah Iqmal kembali menjalani hukuman sebelum Mahkamah Rayuan membenarkan pembebasan sementaranya pada 14 Februari lalu, sementara menunggu rayuan di peringkat berkenaan diselesaikan.

Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved