Razali Idris selesai beri keterangan

Politics
20 Nov 2023 • 5:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Razali

KEMAMAN - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris memberikan keterangan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan palsu terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Isnin.

Razali ketika dihubungi Sinar Harian menjelaskan, beliau hadir ditemani peguam, Nizam Amin.

"Rakaman percakapan saya dalam setengah jam, berkisar tentang kenyataan semasa pelancaran kempen jentera pilihan raya minggu lepas.

"Semuanya ada 16 soalan dan berjalan lancar. Saya juga beri kerjasama baik kepada pegawai siasatan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas dari Bukit Aman," katanya.

Pada Rabu lepas, SPRM membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu didakwa dikeluarkan Razali Idris.

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, laporan terbabit dibuat pada Rabu, susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang memaparkan kenyataan Razali itu.

Di dalam hantaran berkenaan, Razali didakwa telah mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.