Razer Iskur V2 X dan Project Arielle Diperlihatkan Dengan Sistem Penyejuk/Pemanas Terbina

TechnologyDigital
8 Jan 2025 • 11:32 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Siri Razer Iskur adalah kerusi gaming ergonomik yang cukup popular. Ia dikategorikan sebagai kerusi gaming premium mampu milik dan terbaru di CES 2025, dua kerusi baharu telah diperlihatkan. Satu adalah Iskur V2 X baharu yang akan d jual dan satu lagi merupakan produk konsep yang menarik dan unik.

Iskur V2 X

image is not available

Iskur V2 X adalah iterasi kelas pertengahan premium baharu untuk kerusi gaming Razer. Ia kini mempunyai sokongan tulang belakang terbina, tempat duduk yang lebih lebar, kusyen yang kurang tekanan tetapi cukup lembut sehingga ia mengikut bentuk pengguna, boleh baring sehingga 152 darjah ke belakang dan menggunakan fabrik boleh bernafas.

image is not available

Berbeza dengan Iskur V2 yang mempunyai tempat rehat lengan yang lebih fleksibel, V2 X hanya boleh laras ketinggian sahaja. Razer turut menawarkan kustomasi tukar warna atau tukar bahan binaan dari fabrik ke kulit. Harga jualan set asas adalah sekitar RM1,349. Di Malaysia Iskur V2 dijual pada harga hampir RM3K, sementara Iskur X pula sekitar RM1.7K. Mungkin Iskur V2 X akan dijual pada harga sekitar RM2K?

Project Arielle

Kerusi gaming konsep baharu Razer ini tidak menggunakan fabrik biasa atau kulit, sebaliknya menggunakan fabrik jenis berjaring untuk memberikan aliran udara yang bagus. Ia juga adalah kerusi gaming pertama yang dimuatkan dengan sistem kipas untuk penyejukan dan pemanasan tubuh pengguna.

Project Arielle menggunakan kerusi Razer Fujin Pro sebagai asas kerusi konsep ini. Untuk kipas, mereka menggunakan motor DC 3-fasa untuk penggunaan kuasa lebih efisien. Motor ini menggerakkan kipas dan boleh menyejukkan atau memanaskan tubuh pengguna sagar boleh bermain permainan video untuk jangka masa panjang.

image is not available

Tempat sandar mempunyai beberapa kekisi udara untuk angin dengan kipas tanpa bilah. Keseluruhan kerusi boleh menyejukkan sehingga ke tahap 2-5 darjah Celsius atau pemanasan sehingga 30 darjah Celsius. Semua kawalan suhu dan kipas adalah pada panel sentuhan kecil khas di sisi kerusi.

image is not available

Razer Fujin Pro adalah kerusi gaming mercu mereka. Sebelum ini ia dijual pada harga melebihi RM4,500 dan dengan integrasi sistem kipas nirbilah serta sistem penyejukan/pemanasan ini – jika dijual saya tidak terkejut kalau harganya mencapai RM6K ke RM7K.

image is not available