RCB dan UMA Racing terus memperkukuh komitmen pembangunan bakat pelumba motosikal bertaraf dunia menerusi sokongan strategik serta kerjasama dengan barisan pelumba berprofil tinggi yang bersaing di pentas antarabangsa dan serantau.
Bagi musim 2026, kedua-dua jenama itu menampilkan gabungan mantap antara pelumba bertaraf dunia, juara serantau dan bakat muda berpotensi besar yang dilihat mampu mengharumkan nama negara serta rantau Asia dalam arena sukan permotoran.
Antara nama yang diumumkan ialah pelumba Moto2 bersama CFMoto Aspar Racing Team, David Alonso Gomez; pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli yang mewakili AEON Credit-MT Helmets-MSi Racing Team; serta juara bertahan ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Hafizh Syahrin Abdullah dari JDT Racing Team.
Turut menerima sokongan RCB dan UMA Racing ialah Kasma Daniel Kasmayudin yang bersaing dalam kategori SS600 ARRC dan CP150 Cub Prix Malaysia bersama Hong Leong Yamaha Racing Team serta PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Muhammad Bahauddin (UB150 ARRC dan CP150 Cub Prix Malaysia), selain bakat muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan yang kini beraksi dalam Moto4 European Cup dan Moto4 Asia Cup bersama SIC-GRYD Racing.
Sebagai jenama yang sinonim dengan inovasi, prestasi dan pembangunan atlet, RCB dan UMA Racing terus komited menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi tajaan kewangan, bantuan teknikal serta penggunaan produk dan komponen berprestasi tinggi bagi membantu pelumba mencapai tahap kompetitif terbaik.
Melalui sokongan berterusan itu, para pelumba dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan, pembangunan fizikal dan prestasi di litar tanpa mengabaikan aspek keselamatan serta kebolehpercayaan jentera.
Pengurus Besar Jenama, Marcus Leong berkata, falsafah RCB dan UMA Racing melangkaui soal kemenangan semata-mata kerana sukan permotoran turut berperanan membentuk karakter serta melahirkan inspirasi kepada generasi baharu.
“Di RCB dan UMA Racing, kami melihat sukan permotoran sebagai lebih daripada sekadar perlumbaan dan kemenangan. Ia adalah platform membina nilai, daripada minat, ketahanan diri dan karakter sehinggalah menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.
“Setiap pelumba yang kami sokong bukan sahaja mewakili pasukan masing-masing, malah membawa tanggungjawab sebagai duta kepada jenama dan sukan ini. Mereka mencerminkan nilai yang kami perjuangkan iaitu prestasi, integriti serta semangat untuk terus berkembang,” katanya sempena Majlis RCB dan UMA Racing Memperkenalkan Barisan Atlet, Duta 2026 di Presint 8, Putrajaya pada Khamis.
Sementara itu, hubungan jangka panjang antara Hafizh Syahrin dan RCB terus menjadi simbol kejayaan kerjasama strategik dalam pembangunan sukan permotoran negara.
Sebagai pelumba Malaysia paling berjaya pada era moden serta pelumba Asia Tenggara pertama bersaing sepenuh masa dalam MotoGP, Hafizh Syahrin telah mewakili negara dalam saingan Moto2, MotoGP dan WorldSBK sebelum merangkul gelaran juara ASB1000 bersama JDT Racing Team.
Marcus berkata, pencapaian dan sumbangan Hafizh Syahrin kepada dunia perlumbaan menjadikannya antara figura paling berpengaruh dalam sukan permotoran Asia.
“Hafizh telah menjadi sebahagian daripada perjalanan RCB selama bertahun-tahun dan pencapaiannya terus memberi inspirasi kepada komuniti sukan permotoran.
“Kami berbangga dapat meneruskan kerjasama ini dan berharap lebih banyak kejayaan dapat dilakar bersama pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Hafizh Syahrin pula menyifatkan sokongan berterusan RCB sebagai antara faktor penting yang membantunya mengharungi pelbagai fasa sepanjang karier perlumbaan.
“RCB telah menyokong saya sepanjang perjalanan karier dan saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan.
“Sokongan ini menjadi motivasi untuk saya terus memburu kejayaan, selain berkongsi pengalaman serta membantu melahirkan generasi baharu pelumba negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hakim Danish terus menjadi sandaran utama negara dalam kempen Moto3 selepas mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama menjuarai Idemitsu Asia Talent Cup, manakala David Alonso pula kekal antara prospek paling menyerlah dalam saingan Moto2 dunia.
Kasma Daniel terus dikenali sebagai pelumba serba boleh yang mampu bersaing dalam pelbagai kategori, sementara Nazirul Izzat semakin mencuri perhatian menerusi aksi konsisten dalam perlumbaan underbone di peringkat serantau.
Bagi Qabil Irfan, pelumba berusia 14 tahun itu terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek paling cerah negara apabila berjaya menamatkan perlumbaan sulung Moto4 European Cup di Barcelona di tempat keempat serta meraih beberapa podium dalam Moto4 Asia Cup.
Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara bakat masa depan Malaysia yang sedang meniti laluan ke pentas MotoGP.
