RCI Tabung Haji: 14 Kertas Siasatan Dibuka, 7 Ditahan - SPRM

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 2:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 14 kertas siasatan dan menjalankan pemeriksaan di 28 premis, kebanyakannya di sekitar Lembah Klang, susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, tiga daripada enam isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI telah selesai disiasat selepas hampir dua minggu.

Menurutnya, siasatan telah membawa kepada cadangan untuk pendakwaan, manakala kes-kes lain diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) bagi beberapa kes.

“Tiga lagi isu yang dibangkitkan kini berada di peringkat akhir siasatan,” katanya. 

Abdul Halim Aman
Abdul Halim Aman

Jelas Abdul Halim, penelitian lebih terperinci terhadap laporan RCI itu turut membawa kepada penemuan lapan isu tambahan berkaitan pelaburan, sekali gus menyaksikan lapan lagi kertas siasatan dibuka.

“Dengan perkembangan itu, jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka kini mencecah 14,” katanya.

Setakat ini tambah beliau, tujuh individu telah ditahan, dengan lima daripada mereka direman bagi membantu siasatan.

“Dua daripada tujuh suspek telah dibebaskan dengan jaminan atas faktor kesihatan,” katanya.

Beliau memberitahu, 115 individu turut dipanggil untuk dirakam percakapan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Dalam pada itu, pasukan penyiasat sedang menjejaki aliran wang serta meneliti penyata bank dan kewangan, selain kontrak, rekod pembayaran dan dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Abdul Halim menegaskan, kesemua enam isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI masih berada dalam skop siasatan SPRM, manakala lapan perkara tambahan berkaitan pelaburan itu membabitkan Deru Semangat Sdn Bhd yang menjalankan kegiatan dalam sektor minyak sawit; ABRAJ Sdn Bhd; Putrajaya Perdana Berhad.

Al-Raudhah Real Estate; Al-Farida Residential Fund; Tabung Haji Properties Sdn Bhd; Tabung Haji Marine Sdn Bhd; serta Tabung Haji Hotel & Residence.

Dalam perkembangan lain, tujuh individu termasuk tiga pengusaha perniagaan dan empat penjawat awam ditahan di Sabah pada 11 Ogos lalu dalam Op Chicks, berhubung dakwaan penyeludupan ayam beku dari China dan Poland.

Kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan.

Abdul Halim berkata, SPRM turut menyita 10 kontena dianggarkan bernilai RM3.9 juta dan mengesan kebocoran hasil cukai disyaki berjumlah RM1.01 juta.

“Sebanyak tujuh telefon bimbit turut dirampas, manakala tindakan sedang diambil untuk membekukan akaun bank syarikat yang terbabit.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya. - Getaran, 13 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved