
PETALING JAYA: Tiada unsur jenayah melibatkan rasuah atau penyelewengan ditemukan dalam siasatan berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) setakat ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, siasatan penuh akan dilengkapkan selepas maklumat dan dokumen kewangan dari bank luar negara seperti Singapura dan Indonesia diperoleh kelak.
“Sehingga hari ini seramai 19 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan dan dirakamkan keterangan mereka. Mereka terdiri daripada pegawai KWAP, Kementerian Kewangan dan juga Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
“Dalam menjalankan penyiasatan kes ini, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan kerana kami mendapati belum ada keperluan melakukan tangkapan. Namun begitu, proses penyiasatan masih lagi berjalan,” katanya dalam sidang akhbar di Kuching, Sarawak hari ini.
Beliau berkata, pasukan siasatan masih berusaha untuk mendapatkan keterangan saksi-saksi yang telah dikenal pasti dan berada di luar negara.
“Setakat ini boleh dikatakan penyiasatan di peringkat domestik hampir selesai, cuma kami menunggu prosedur bagi mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dari beberapa negara luar.
“Proses itu tidak menghadapi apa-apa masalah, cuma ia mungkin mengambil masa kerana beberapa prosedur perlu dipatuhi dari segi perundangan,” katanya. – UTUSAN
The post Tiada unsur jenayah, rasuah ditemukan dalam siasatan KWAP appeared first on Utusan Malaysia.






