RCI Tabung Haji: Individu terlibat boleh diheret ke mahkamah secara berjemaah

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI Tabung Haji: Individu terlibat boleh diheret ke mahkamah secara berjemaah
Hassan Karim

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berpandangan ramai pihak boleh diheret secara jemaah ke mahkamah sekiranya siasatan terhadap dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji menemukan bukti berlakunya kesalahan jenayah.

Beliau yang juga peguam berkata, siasatan telus perlu dilakukan berdasarkan kepada krisis kewangan serius tahun 2017 yang mendapati institusi itu sebenarnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya terhadap laporan itu, terdapat beberapa kemungkinan kesalahan yang wajar disiasat antaranya penipuan kewangan, pemalsuan rekod perakaunan, penipuan, pengagihan hibah tidak sah dan pecah amanah.

"Bagi saya yang mempunyai sedikit pengalaman undang-undang, mereka yang bertanggungjawab ini ramai, boleh diheret ke mahkamah secara berjemaah, kalau betul ada kes.

ARTIKEL BERKAITAN: RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik

"Saya tidak menuduh sesiapa kerana ia perlu disiasat dan individu yang mungkin dituduh nanti belum tentu bersalah, mereka ada hak untuk membela diri.

"Negara kita negara hukum, tidak boleh dengan satu laporan RCI ini semuanya terus diheret ke mahkamah dan disumbat ke penjara, tidak begitu, akan disiasat secara telus. Kalau ada kes prima facie, barulah dibawa ke mahkamah," katanya dalam satu rakaman video di Facebook pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: 'RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar' – Mujahid

'RCI hanya tunjuk tindakan dalaman pegawai TH, jadi siapa ahli politik UMNO 'sakau?' - Akmal Saleh

Penerbitan laporan penuh RCI Tabung Haji perkukuh ketelusan, amanah tadbir urus institusi – IKIM

Hassan berkata, laporan RCI itu tidak seharusnya berakhir sebagai dokumen semata-mata tanpa sebarang tindakan undang-undang memandangkan ia melibatkan dana jutaan pendeposit Islam yang mengumpul wang demi menunaikan Haji dan Umrah.

Jelasnya, golongan profesional dan ahli politik yang memegang jawatan tinggi ketika itu wajar dipertanggungjawabkan atas sebarang keputusan yang melanggar undang-undang statutori.

"Perkara ini ada kepentingan awam tambahan Lembaga TH merupakan sebuah badan berkanun dan punca kuasanya ialah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), jadi tidak boleh buat sewenang-wenangnya.

"Perdana Menteri sudah berjanji kepada rakyat, sesiapa yang salah disiasat serta didakwa, jadi agensi yang bertanggungjawab untuk melakukan siasatan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Bank Negara," ujarnya lagi.

Hassan berkata, sebarang pendakwaan perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan termasuk Akta Tabung Haji 1995 serta Kanun Keseksaan, antaranya Seksyen 409, Seksyen 417, Seksyen 420 dan Seksyen 477A, bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa.

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved